Tuesday, May 26, 2009

Suami curang, isteri enggan bermadu

KUALA LUMPUR: Tiada persefahaman, suami curang atau isteri enggan dimadukan serta campur tangan mentua dan ipar duai adalah antara punca utama menyebabkan pasangan suami isteri di negara ini bercerai.

Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, 42.3 peratus kes perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan (12 peratus), tidak bertanggungjawab (11.5 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus).

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata punca lain disebabkan ketagih dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan faktor lain (12.6 peratus).

Perceraian disebabkan tiada persefahaman kebanyakannya membabitkan pasangan Cina, iaitu 45.8 peratus, diikuti Melayu (44.9 peratus) dan India (20 peratus).

"Punca perceraian pasangan India paling tinggi disebabkan campur tangan mentua dan ipar duai, iaitu sebanyak 30 peratus, Melayu (7.4 peratus), manakala Cina tiada kes," katanya dalam kertas kerja mengenai Profil Keluarga Di Malaysia dan Kesannya Kepada Masyarakat pada Seminar Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di sini, semalam.

Aminah berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat juga menunjukkan perceraian wanita Melayu dan Bumiputera lebih cenderung kepada kelompok berusia bawah 25 tahun serta pasangan berumur 40 tahun ke atas.

"Berbeza dengan tanggapan masyarakat bahawa institusi keluarga begitu rapuh dan perceraian kini berleluasa, sebenarnya data menunjukkan bahawa perceraian berlaku di kalangan segelintir penduduk (0.7 peratus) berdasarkan bancian tahun 2000," katanya.

Beliau berkata, pembangunan sosio-ekonomi turut memperlihatkan mereka yang berumur 20-30 tahun dan tidak pernah berkahwin terus meningkat di antara 1991-2000, iaitu daripada 43.2 kepada 48.1 peratus.

Di kalangan wanita berumur 20-24 tahun pula, 68.5 peratus masih belum berkahwin pada tahun 2000 berbanding 60.2 peratus pada 1991 dan 51.3 peratus pada 1980.

Aminah berkata, kajian juga menunjukkan kadar minimum perkahwinan pertama lelaki meningkat daripada 28.2 tahun pada 1991 kepada 28.6 tahun pada 2000.

Katanya, umur perkahwinan pertama untuk wanita meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun.

Powell sokong tutup Guantanamo

WASHINGTON 25 Mei - Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk menutup kem penjara di Teluk Guantanamo, Cuba mendapat sokongan padu daripada dua tokoh tentera semalam, sekalipun anggota Kongres menentang pemindahan tahanan ke AS.

Bekas Setiausaha Negara, Colin Powell yang juga bekas pengerusi ketua turus bersama dalam pentadbiran Republikan, dan pengerusi ketua turus bersama sekarang, Laksamana Michael Mullen, dalam wawancara berasingan di televisyen berkata, kem penjara dalam 'perang menentang keganasan' itu hendaklah ditutup.

"Sejak enam tahun lalu saya merasakan Guantanamo patut ditutup, dan saya melobi dan mengemukakan alasannya kepada bekas Presiden George W. Bush," kata Powell dalam wawancara dengan televisyen CBS.

Bekas Naib Presiden, Dick Cheney mengetuai serangan Parti Republikan ke atas Obama kerana janjinya untuk menutup kem penjara itu pada Januari depan tanpa rancangan untuk menangani kes kira-kira 240 suspek pengganas yang masih ditahan di sana.

Ahli Kongres Demokrat juga menentang pemindahan suspek berkenaan ke penjara di AS, sehingga memaksa Obama mempertahankan dasar-dasar keselamatan beliau dalam satu ucapan utama pada minggu ini.

Dalam wawancara dengan televisyen ABC, Mullen berkata, beliau sudah lama menyokong penutupan kem Guantanamo kerana ia menjadi simbol untuk puak pelampau menarik anggota baru bagi memerangi Amerika.

Beliau bagaimanapun mengakui masalah untuk memutuskan langkah yang patut diambil terhadap suspek yang dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan tetapi tidak boleh dibicarakan, dan bagaimana hendak memastikan tahanan yang dibebaskan tidak kembali memerangi AS. - AFP

Thursday, May 21, 2009

Larian Ruqaya jadi ikutan Nurul Syafiqah

BERPAKAIAN menutup aurat seharusnya tidak menghalang pembabitan atlit wanita Islam dalam menceburi bidang sukan dengan ia dibuktikan pemenang emas 200 meter Sukan Asia Doha 2006, Ruqaya Al Ghasara dan semangat itulah yang cuba dijejaki Nurul Syafiqah Dawood .

Atlit kelahiran Melaka itu memenangi emas dalam acara 400m lari berpagar 18 tahun, dan menjadikan atlit Bahrain itu sebagai inspirasinya untuk membuktikan tiada penghalang buat seorang wanita yang berpakaian litup untuk mencapai kejayaan dalam bidang olahraga.

Dengan menyarung pakaian yang menutupi seluruh tubuhnya ala Ruqaya di Doha, Nurul Syafiqah meluncur laju melepasi semua halangannya untuk memenangi emas dengan catatan 65.66s diikuti Nor Alimzani Said dari Terengganu dengan Nur Hafiza Che Ishak meraih gangsa buat Kelantan

"Ya, saya memang menjadikan Ruqaya sebagai idola saya. Saya mula berminat untuk mengikutinya selepas menyaksikannya pada Sukan Asia Doha ketika saya berada pada tingkatan satu.

“Pakaian ini saya beli di sebuah kedai di Melaka," kata pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor, yang petah berkata-kata.

Dan bukan penampilan Ruqaya saja yang mahu diikutinya malah Nurul Syafiqah berazam untuk membanggakan negara di temasya Sukan Olimpik.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi juara Olimpik," kata Nurul Syafiqah.

Sebelum ini, bakatnya dikesan ketika Tingkatan Satu oleh jurulatih, Mohd Poad Kassim dan menurut pengurus pasukan Melaka, Noraziah Kassim, Nurul Syafiqah adalah atlit yang diletakkan sebagai sandaran pada Sukma 2010 di Melaka nanti.

UPM temui kaedah kesan kanser peringkat awal

Penemuan pertama di dunia guna pengimejan nuklear

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menemui kaedah yang pertama di dunia bagi mengesan sel kanser peringkat awal menggunakan pengimejan nuklear yang dikenali Pengkolimat Jaringan Wayar.

Ia dipasang pada perkakasan pengimejan nuklear yang dikenali sebagai mesin Spect bagi meningkatkan sensitiviti mesin berkenaan mengesan sel kanser lebih awal dan dalam saiz yang lebih kecil iaitu satu milimeter (ml).

Pensyarah dan Ketua Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Sistem Terbenam dan Kecerdikan Buatan Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr M Iqbal Saripan, berkata penambah baik dicapai dengan mengubah satu struktur dalam perkakasan pengimejan nuklear yang dinamakan pengkolimat.

"Mesin Spect ada dua komponen utama iaitu pengesan dan pengkolimat. Pengkolimat diubah suai supaya ia boleh meningkatkan sensitiviti mesin untuk mengesan aktiviti sel luar biasa lebih awal dan dalam saiz yang lebih kecil..

"Pengkolimat ini dicipta dalam bentuk jaringan wayar, sekali gus membolehkan lebih banyak sel dikesan berbanding pengkolimat sedia ada yang berbentuk blok segi empat sama dan tidak membuka banyak ruang kepada mesin Spect untuk kesan sel kanser," katanya pada sidang media mengenai hasil kajian itu, di sini semalam.

Beliau berkata, berbanding pengkolimat sedia ada yang hanya boleh mengesan sel kanser sebesar 10ml, pengkolimat baru mempunyai banyak kelebihan dan tidak memberi kesan radiasi kepada pesakit.

Komponen baru yang didatangkan dalam dua saiz itu lebih ringan iaitu masing-masing 39.5 dan 51.2 kilogram (kg) berbanding pengkolimat sedia ada seberat 100 kg, sekali gus mudah dikendalikan.

Walaupun boleh meningkatkan sensitiviti kepada mesin pengimbas untuk kesan sel kanser pada saiz yang lebih kecil, ia tidak memberikan kesan sampingan kepada pesakit kerana prosedur yang dilalui sama seperti prosedur ketika menggunakan pengkolimat sedia ada.

"Hospital yang ingin menggunakan pengkolimat ini juga tidak perlu membeli mesin Spect baru yang bernilai jutaan ringgit, sebaliknya hanya perlu tukar pengkolimat," katanya.

Iqbal yang sudah menjalankan kajian sejak tujuh lalu, berkata UPM sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat pengeluar mesin Spect dari China dan United Kingdom yang berminat dengan pengkolimat itu untuk diguna pakai pada produk mereka.

"Komponen berkenaan belum diuji secara klinikal, sebaliknya diuji ke atas sel kanser kerana masih menunggu pengkolimat dipatenkan di luar negara," katanya.

Pengkolimat yang difailkan untuk dipatenkan di negara ini pada Julai 2008 memenangi beberapa anugerah, antaranya Pingat Emas dan Ucapan Khas Tahniah Juri Geneva 2008 serta Anugerah Pengerusi dan Emas Agensi Nuklear Malaysia sempena Ekspo Teknologi Malaysia.

Sunday, May 17, 2009

Iktibar daripada cerita Presiden Obama

A Kadir Jasin
Sun | May 17, 09 | 9:49:09 am MYT
SEBUAH universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.

Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.

Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.

Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi "a dime a dozen" atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.

Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan "derma" dan "sedekah".

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.

Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.

Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.

Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.

Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.

Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.

Dengan berseloroh, Obama berkata: "Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah."

Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.

Kita suka orang luar kata kita sederhana atau "modest". Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.

Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.

Maka berlakulah situasi di mana budak "kanyir" dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.

Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.

Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.

Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu. - kadirjasin.blogspot.com._
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya