Friday, August 15, 2008

Sumpah Saiful

IPOH: 16 Ogos (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Harun Din mempersoalkan sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam yang dibuat di hadapan seorang imam kerana sebagai orang yang mendakwa ianya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful sepatutnya mengemukakan empat orang saksi bagi mensabitkan perbuatan itu, bukannya bersumpah di dalam masjid.
"Kemukakan empat orang saksi di Mahkamah Syariah, jika tidak dapat mengemukakan empat saksi, dakwaannya itu tidak benar dan ia wajar dihukum 80 kali rotan, bukannya bersumpah di dalam masjid."
"Saya dengar lafaz sumpahnya tadi apabila menonton televisyen berita jam 8.00 malam, akhir sumpah itu disebut " Watangallahhu', mana ada `watangallahu', inilah Islam Hadhari" jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sumpah yang dilakukan oleh Saiful di dalam Masjid Wilayah Persekutuan semalam di majlis foram perdana sempena Muktamar PAS kali ke 54 di perkarangan Stadium Indera Mulia, malam tadi.
Kira kira lebih 5,000 membanjiri perkarangan Stadium Indera Mulia untuk menyaksikan foram perdana yang dibarisi tiga ahli panel, Datuk Dr. Harun Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimnen Baling, Ustaz Taib Azamuddin. Forum perdana tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki.
"Persoalannya kenapa di saat hari percalonan pilihanraya kecil Permatang Pauh baru Saiful buat sumpah, kenapa tidak dahulu lagi?
"Apabila ianya dilakukan pada saat hari pencalonan pilihanraya kecil Permatang Pauh, ianya dilihat sesuatu yang `ada yang tidak kena', agar sukar untuk kita katakan ianya tidak ada konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan karier politik orang yang dituduh (Anwar Ibrahim), katanya.
Beliau kesal dengan apa yang berlaku pada hari ini apabila keaiban seseorang itu didedahkan kepada umum, sepatutnya perkara ini tidak berlaku.
"Bawa kes ini ke Mahkamah Syariah, kemukakan empat orang saksi, bukannya menghebahkan ke serata dunia dengan membuat sumpah di masjid."
Menurut beliau orang yang kena tuduh, ia boleh mengemukakan hujahnya melalui peguam di Mahkamah Syariah, umpamanya sebagai contoh tarikh kejadian itu berlaku tidak betul, atau pun bangunan tempat kejadian itu belum wujud lagi.
Selepas itu, kalau yang dituduh itu tidak mampu mengemukakan bukti menyanggah dakwaan itu, barulah yang kena tuduh itu boleh membuat sumpah di hadapan hakim di Mahkamah Syariah, bukannya yang menuduh buat sumpah dalam masjid, jelasnya.
Beliau mengambil contoh apa yang berlaku terhadap isteri Nabi Muhamad S.A.W, Saidatina Aisyah dituduh melakukan hubungan sulit dengan seorang lelaki bernama Safuan, apabila tersebarnya berita itu di Madinah.
Selama 30 hari Nabi Muhamad tertekan dengan tersebarnmya berita itu, sehingga hampir Nabi Muhammad menceraikan Aisyah sehinggalah Malaikat Jibil turun membawa Wahyu Allah bahawa Aisyah itu bersih dari tuduhan.
"Nabi Muhamad S.A.W tidak pula Aisyah bersumpah atau meminta Safuan bersumpah," katanya.
Mengenai dakwaan pihak tertentu PAS ada kepentingan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana PAS mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar, beliau dengan tegas menyatakan PAS tidak ada agenda untuk membela sesiapa, PAS tidak terlibat apa apa pun.-(tmj)_
(Sumber : Harakah)

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya