Saturday, December 27, 2008

MAAL HIJRAH 1430 : Berhijrah Menuju Kepada Allah & Rasul

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (http://akob73.blogspot.com/)

Sebagaimana yang telah maklum kalendar Islam telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau dan para sahabat telah memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam ini pada tahun di mana Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berpindah dari Mekah yang dikuasai oleh golongan musyrikin ke Madinah kerana begitu pentingnya peristiwa tersebut terhadap kejayaan dakwah Islam. Namun Maal Hijrah yang muncul setiap tahun hanya dilihat sebagai sambutan kedatangan tahun baru bagi umat Islam. Kebanyakkan umat Islam gagal menghayati semangat hijrah sebenar yang pada hakikatnya dapat memberi kesan yang begitu besar terhadap umat Islam.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud meninggalkan atau berpindah. Dari segi istilah hijrah memiliki dua makna.

PERTAMA ia bermaksud berpindah dari negeri syirik menuju ke negeri Islam. Hijrah dalam erti ini adalah sebagaimana hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah menuju ke Madinah. Ada yang berpendapat dengan berakhirnya penghijrahan tersebut maka tidak ada lagi hijrah setelah itu. Perkara ini dapat disangkal dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120

Oleh itu bagi umat Islam yang bermastautin di negara yang dikuasai oleh orang kafir dan tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya malah ditindas maka diwajibkan baginya untuk berpindah ke negara Islam yang lain sekiranya memiliki kemampuan. Dalil yang mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97

Tetapi hijrah sebegini tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan dari segi fisikal mahupun ekonomi untuk berpindah. Firman-Nya: “Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” – al-Nisaa’ : 98-99

KEDUA, hijrah bermaksud meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah menuju kepada yang diperintahkan-Nya. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6484

Imam Ibnul Qayyim r.h mengistilahkan hijrah seperti ini sebagai hijrah dengan hati menuju Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Allah maka ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah pertama dalam syahadah kita iaitu Laa ilaaha illa Allah. Maka hijrah dalam hal ini menuntut kita untuk mengikhlaskan segala amal ibadah kita hanya kepada Allah. Hendaklah kita meninggalkan segala amalan-amalan yang berunsur syirik dan menyemai benih-benih tauhid kepada seluruh umat Islam. Kita harus mempertingkatkan usaha untuk membersihkan umat Islam dari perkara-perkara yang dapat mencemari aqidah umat Islam. Segala perkara khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Di antara amalan-amalan yang mencemari aqidah yang masih berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia adalah kebergantungan kepada bomoh, memakai tangkal serta azimat, berdoa kepada selain daripada Allah, bertawakal kepada selain daripada Allah, bertawassul kepada kuburan-kuburan yang dianggap keramat, menyakini ramalan-ramalan tukang ramal dan banyak lagi.

Manakala hijrah menuju kepada Nabi s.a.w. adalah proses untuk menerapkan konsep Ittiba’ al-Rasul iaitu satu upaya untuk mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Rasul, ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah ke dua dalam syahadah kita iaitu Muhammadur Rasulullah.

Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 2697

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata: “Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlid Nabi. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa tidak termasuk dalam amalan sunnah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman daging babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya serta menghapuskan dosa-dosa. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

c) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

d) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih daripada Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

e) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

f) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

g) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 7280.

h) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w..

Oleh itu sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini marilah kita berusaha untuk menerapkan konsep hijrah yang sebenar agar ianya memberi satu manfaat yang besar dalam hidup setiap umat Islam.

Thursday, December 18, 2008

FUTUR

FUTUR ITU IALAH ...

Apabila melakukan maksiat dan dosa berulang kali.
Terlalu kerap melakukan kesalahan menjadikan seseorang itu merasakan kesalahan sebagai suatu kebiasaan. Sehingga pada suatu ketika individu itu sukar meninggalkan segala kesalahan tersebut. Hasil daripada kebiasaan tersebut pula menyebabkan hilang rasa bersalah ketika melakukan kesalahan atau dosa. Akibatnya, seseorang menjadi semakin berani melakukan dosa dan kesalahan yang berikutnya.

Anas RA pernah berkata :
"Demi Allah, nescaya kamu melakukan suatu dosa yang kamu anggap dosa itu lebih nipis dari rambut. Sedangkan kami dahulu menganggap perbuatan tersebut termasuk dalam ‘maubiqat’ (dosa besar). "

Rasulullah SAW bersabda : "Setiap umatku akan dimaafkan kecuali orang yang (berani) melakukan dosa secara terang-terangan." (HR Bukhari)

Apabila merasakan kekerasan dan kebekuan hati.
Kekerasan hati laksana batu kerasa yang tak dapat diubah atau dipengaruhi oleh kejadia-kejadian di sekitarnya serta sukar menerima teguran dan nasihat.

Apabila diri merasakan kesukaran untuk tekun dalam beribadah.
Seperti sukar untuk khusyuk dalam solat, ketika berzikir, membaca al-quran dan berdoa.

Apabila timbul rasa malas melakukan amal ketaatan dan ibadah.
Atau merasa cenderung untuk meremehkan amalan ibadahnya. Contohnya enggan atau meremehkan kehadiran solat berjemaah atau menunaikan solat di awal waktu. Manakal ia menunaikan amal ibadah, ia hanya merupakan aktiviti yang kosong dari roh. Allah SWT menyifatkan orang munafiq dalam firman Nya:
"Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas." (QS. An-Nisaa’ : 142)

Apabila perasaan cepat dilanda gelisah.
Malah dada begitu terasa menyesak laksana orang yang menghadapi masalah berat yang menghimpit, sedangkan masalah yang dihadapi adalah masalah yang remeh sahaja. Juga rasa tidak tabah dan ‘Pucat Lesi’ ketika menghadapi musibah atau cubaan.

Apabila suasana jiwa yang tak tersentuh dengan kandungan ayat suci al-Quran.
Samada ayat itu berupa janji, ancaman, perintah, mahupun larangan. Timbulnya sikap malas untuk mendengar dan menyemak al-quran, apatah lagi membacanya.

Apabila lalai atau malu mengamalkan zikir.
Dengan alasan zikir adalah suatu yang sukar malah merasakannya sebagai amalan yang berat. Firman Allah SWT : "Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali." (QS. An-Nisaa’ : 142)

Apabila berkurangnya rasa marah atau tidak terusik langsung hati untuk merasa marah tatkala melihat kemungkaran atau perlanggaran peraturan dan hukum yang diharamkan Allah SWT.
Berkurangnya rasa cinta atau lenyap sama sekali kecintaan terhadap perbuatan ma’ruf dan ketaatan. Atau dengan kata lain, segala permasalahan dianggap sama sehingga tak terdetik dalam hati untuk melarang kemungkaran atau menganjurkan kebaikan. Sesiapa yang dilanda kemalasan ini adalah seseorang yang enggan untuk aktif dalam dakwah Islam.

Apabila menilai sesuatu hanya dari segi perkara tersebut itu dosa atau tidak sahaja dan tidak melihat dari sudut perbuatan yang makruh. Kebanyakkan orang apabila ingin melakukan perbuatan, ia bertanya adakah perbuatan tersebut dosa atau tidak? Ini suatu yang baik. Namun yang lebih baik adalah bertanya dengan soalan "Adakah perkara tersebut haram atau makruh ?" kerana perkara yang makruh akan menyeret seseorang kepada perkara syubahat. Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabdasebagaimana yang di riwayatkan oleh Muslim "Barangsiapa yang terjerumus dalam syubahat, bererti ia berada dalam yang haram."

Apabila kurang memberi perhatian terhadap urusan atau hal ehwal umat Islam.
Tidak pernah atau tidak mahu mendoakan saudara seislam mereka apatah lagi mengeluarkan infaq (sumbangan/perbelanjaan) untuk mereka. Perasaannya begitu dingin dan ‘beku’ ketika menyaksikan permasalahan umat islam yang sedang dikuasai musuh, ditindas, dizalimi, diseksa dan sebagainya. Malah merasa bersyukur dan gembira kerana tidak bertimpa masalah tersebut. Tidak pernah prihatin atau tidak pernah mahu bersusah payah berjuang untuk mengatasi keadaan umat islam juga merupakan suatu petunjuk atau indikasi ketiadaan rasa tanggungjawab terhadap agama. Secara jelas Rasulullah SAW telah bersabda antara yang lain "Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya apa yang ia cintai buat dirinya " malah dalam hadis baginda yang lain pula : " Seorang muslim adalah saudara muslim, tidak boleh menzalimi dan tidak boleh membiarkannya tidak menolongnya. Barangsiapa yang memerhatikan keperluan saudaranya maka Allah memerhatikan keperluannya. Barangsiapa melepaskan kesusahan saudaranya , maka Allah melepaskan kesusahannya di hari Kiamat.."

Apabila cenderung memperbanyakkan perdebatan dan menjauhi urusan amal.
Perdebatan yang berlebihan atau berbantah-bantah yang terlalu kerap ditambah pula tanpa hujah yang benar dan tepat, atau tanpa pengetahuan dan dalil yang jelas justeru menjadikan hati menjadi keras dan beku. Malah yang lebih menakutkan adalah sebagai munculnya benih-benih perpecahan.

Apabila terlalu memerhatikan urusan dunia berbanding urusan akhirat.
Keadaan terlalu memerhatikan uruan dunia hingga berlebih-lebihan dalam memerhatikan diri sendiri, baik dalam masalah makan, minum, pakaian, dan sebagainya.

Apabila menghindar atau memisahkan diri dari persekitaran persahabatn dengan orang-orang baik.
Muncul rasa tidak selesa atau kurang enak apabila berada di dalam suasana dan persekitaran orang-orang yang berjuang di jalan Allah.
Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di
Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah
berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar,
dia juga seorang jurudakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan
dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan
semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di
Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut.
Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia
keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi
permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku
dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan
lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat
kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku
harap dia keluar dari sini." Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya.
Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap
tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku
minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya. " Barulah pemuda
ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu
bahawa saya seorang Muslim?" Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat
di wajahmu."

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan
kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk
memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim
itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda
harus menjawabnya dengan tepat. " Si pemuda tersenyum dan berkata,
"Silakan!"

Sang paderi pun mulai bertanya, "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang
tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang
tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya,
delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang
tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang
tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya."

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang
dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta
namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia
tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah
dan ibu!"

"Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan
siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu,
siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?"

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah
yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun
mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?"
Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada
Allah.

Setelah membaca "Bismillah.. ." dia berkata,
-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..
-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, "Dan
Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)."
(Al-Isra': 12).
-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika
Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika
menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.
-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an.
- Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.
-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan
makhluk.
-Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t.
berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu
sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang
tidak seimbang." (Al-Mulk: 3).
-Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah
s.w.t. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit.
Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Rabbmu di atas
(kepala) mereka." (Al-Haqah: 17).
-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu'jizat yang diberikan kepada Nabi
Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik,
katak, darah, kutu dan belalang.*
-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t.
berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali
lipat." (Al-An'am: 160).
-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .
-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat
dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya,
lalu Kami berfirman, "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Lalu memancarlah
daripadanya dua belas mata air." (Al-Baqarah: 60).
-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf
ditambah dengan ayah dan ibunya.
-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh.
Allah s.w.t. berfirman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai
menyingsing. " (At-Takwir: 18).
-Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.
-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi
Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami,
sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat
barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." Setelah kedustaan terungkap,
Yusuf berkata kepada mereka, "Tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah
mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku.
Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:98)
-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai.
Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara
keldai." (Luqman: 19).
-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam,
Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.
-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah
Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t.
berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya': 69).
-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan
batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul
Kahfi (penghuni gua).
-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya
Wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita
itu sangatlah besar." (Yusuf: 28).
-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun,
setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran
matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah
Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam
hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim
tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya
dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini
disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci surga itu?"

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti
keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan
kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu
terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba
mengelak.

Mereka berkata, "Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya
dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak
mampu menjawabnya! "

Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut
kalian marah."

Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda. "

Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah, Wa
Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah. "

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama
Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka
dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.**

Penyakit

Di dalam kehidupan ini kita telah tahu bahawa ada dua macam penyakit yang telah mangganggu manusia.Pertama,penyakit yang mengenai anggota badan atau jasmani,seperti demam,batuk,sakit perut dan sebagainya.Sedangkan yang kedua, penyakit yang bersumberkan dari rohani atau bersifat kejiwaan.

Adapun penyakit yang kedua itu,iaitu penyakit rohaniah,ubatnya hanya satu sahaja,iaitu dengan jalan menyucikan jiwa sendiri dari penyakit tersebut dengan mengamalkan dan menghayati petunjuk-petunjuk yang diberikan oleh agama,baik Allah dan Rasul-Nya.

Penyakit yang kedua ini jauh lebih berbahaya dari penyakit pertama,sebab kalau penyakit rohaniah itu tidak dapat segera diubat,maka akhirnya tak ubahnya seperti api dalam sekam,yang lama kelamaan akan menimbulkr,dan penyaan kebakaran yang sangat besar ,dan penyakit ini akan menghambat orang dalam hubungannya dengan Tuhannya

Penyakit rohaniah itu banyak jenis.Dalam satu hadis dijelaskan Rasulullah SAW sebagai berikut:

“Sesungguhnya umat aku akan ditimpa oleh suatu penyakit umat.Para sahabat bertanya: “Apakah penyakit umat itu? Nabi menjawab: “1.Kufur nikmat 2.Sombong 3.Tamak
4. Berlumba-lumba 5.benci-membenci 6. dengki –mendengki sehingga melampaui batas(berlaku kejam)dan kemudian bunuh memmbunuh.”

(H.R Ibnu Abid Dunya)

Rasulullah SAW menyebutkan penyakit itu dengan sebutan penyakit umat,sebab sifatnya umum,berlaku kepada kaum perempuan dankaum lelaki.Cuma penyakit itu ada yang masih ringan dan ada pula yang sudah berat.


1.KUFUR NIKMAT

KUFUR NIKMAT secara besarnya ada dua macam nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluknya,terutama makhluk manusia,Pertama,nikmat yang dibawa sejak manusia lahir kedunia,yang dapat disebut sebagai nikmat fitri.Nikmat itu ialah seluruh anggota jasmani yang menjadi alat hidup secara lengkap,seperti:Kaki,perut, mata,hidung,telinga dan lain-lain.

Alat untuk hidup tersebut sangat mengkagumkan,berfungsi melebihi mesin yang sangat canggih yang ada di dunia ini,ianya dapat bergerak serentak dan pada waktu yang sama.sambil melihat,orang dapat bercakap,mendengar,mencium,berjalan dan lain-lain..

Kedua,nikmat yang sifatnya datang kemudian yang dikurniakan Allah dalam perjalanan hidup manusia,seperti tempat tinggal,makanan ,pakaian,kesihatan,harta benda dan lain-lain.
Nikmat yang malimpah ruah itu tidaklah terbatas,seperti yang diterangkan oleh Allah dalam firmanNya

Ertinya:
“dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah,nescaya tak sanggup kamu menhitung jumlahnya”
(An-Nahl:18)


Apabila ada seseorang yang memberi sesuatu kepada kita,maka hati nurani kita sendiri akan mendesak untuk segera mengucapkan terima kasih kepada orang yang berkenaan,Apa lagi terhadap Allah SWT yang telah menganugerahkan nikmat yang tidak putus-putusnya,sejak manusia ada dalam rahim sampai ia masuk ke dalam kubur.

Untuk menghindari penyakit kufur nikmat ini harus sentiasa bersyukur dengan jalan berbakti kepadaNya,mengerjakan suruhanNya, dan menghentikan segala laranganNya
~Ku intai redhaMU dalam perjalanan hariku~

Wahhabiyyah

Isu Wahhabiyyah atau nama lainnya seperti Ittiba’ al-Sunnah, Kaum Muda atau Salafiyyah telah dibincangkan beberapa kali di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada asasnya kerajaan menolak kehadiran fahaman Wahhabiyyah atas dasar ia boleh menimbulkan kekecohan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Ia sepertimana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Ia juga dibincangkan berkali-kali di dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM pada kali ke-14 tahun 2000, kali ke-20 tahun 2002 dan kali ke-23 tahun 2003. Kesemua keputusan perbincangan adalah menjurus kepada menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

Bagaimanapun keputusan tidak mengatakan bahawa Wahhabiyyah merupakan ajaran sesat malah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Perbincangan Fatwa

Kertas konsep dan kedudukan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam pentadbiran Islam di Malaysia telah dibentangkan sebanyak tiga kali oleh S.S. Mufti Perlis (Dato’ Alim Panglima Mat Jahya Hussin) iaitu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998). Antara hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh beliau berhubung pengamalan Ahli Sunnah di negeri Perlis adalah seperti berikut:-

a) Di negeri Perlis, Perlembagaan Negeri, undang-undang Pentadbiran Negeri, agama Islam negeri serta mazhab yang dianuti oleh Ketua beragama Negeri dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri, adalah mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah iaitu sama ada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafi’i. Apa yang jelas hanya negeri Perlis yang tidak terikat dengan salah satu daripada mazhab tersebut. Dari segi aqidah pula tidak dinafikan lagi bahawa ia di bawah aliran mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah pimpinan Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sebagaimana negeri lain juga di Malaysia.
b) Mengikut keputusan fatwa negeri Perlis, asas pegangan ialah; al-Qur’an, Hadith Sahih, ijma’ Sahabah, fatwa Sahabah, Hadith Mursal dan Hadith Daif,qiyas ketika darurat, al-masalih al-mursalah, sadd al-zara’i’, istihsan, ‘uruf dan al-qawa’id al-fiqhiyah.

Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis, muzakarah telah bersetuju untuk menerima kertas tersebut tetapi dengan beberapa keputusan dan ulasan seperti berikut:-

a) JFK bersetuju supaya dikaji semula definisi hukum syara’ yang mengecualikan Perlis daripada mazhab yang mu’tabar.

b) Mana-mana golongan yang mengisytiharkan diri mereka tidak bermazhab dan menganggap bahawa dialah orang yang lebih baik di samping mencerca dan menghina golongan yang bermazhab, sedangkan mereka ini berada di dalam kelompok yang sama, maka pendekatan dengan cara perbincangan adalah lebih baik supaya tidak timbul perpecahan di kalangan umat Islam sendiri.

c) Golongan yang tidak bermazhab atau Wahhabi adalah sama sahaja kerana mereka begitu aktif bergerak untuk menyebarkan fahaman mereka.

Kesimpulannya, fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah di Perlis dari segi aqidah adalah sama seperti di negeri-negeri lain walaupun berbeza manhaj. Apa yang berbeza hanyalah fahaman mereka terhadap tradisi bermazhab yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Selain daripada itu kertas konsep Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang dibentangkan oleh S.S. Mufti Perlis diterima oleh ahli JFK dengan beberapa pindaan dan pembetulan.

Keputusan Panel Kajian Aqidah Terdahulu Berkenaan Ibnu Taimiyyah dan Wahhabiyyah

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000 mengambil keputusan bahawa;

• Aqidah yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara bid’ah dan khilafiah.

• Golongan Wahhabi di Malaysia tidak mahu menerima pendapat golongan yang selain dari mereka dan mereka tidak menerima pembahagian bid’ah kepada Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Dhalalah.

• Hendaklah dibuat pemantauan kepada guru-guru yang berfahaman Wahhabi dan guru-guru ini hendaklah dipanggil dan dijelaskan kedudukan mazhab di Malaysia.

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002, setelah membincangkan kerta kerja bertajuk “Pendekatan Antara Ahli Sunnah Dan Wahhabi” memutuskan bahawa sumber utama bagi kedua-dua aliran pemikiran ini adalah sama iaitu al-Quran dan al-Hadith serta meletakkan naqli mendahului akal.

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac 2003, kertas kerja bertajuk “Ibn Taimiyyah” telah dibentangkan. Mesyuarat memutuskan bahawa Ibn Taimiyyah dan Wahhabiyyah adalah dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mesyuarat juga memutuskan karangan Haji Said Haji Ibrahim dalam bukunya Perbandingan Aqidah Dan Fahaman Umat Islam dan K.H. Siradjuddin Abbas dalam bukunya Iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menyentuh tentang kesalahan aqidah Ibn Taimiyyah mengandungi fakta yang salah dan boleh menyebabkan orang menuduh Ibn Taimiyyah adalah kafir.

Justeru mesyuarat mencadangkan usaha menyatukan pandangan di antara Ahli Sunnah dan Ibn Taimiyyah dan seterusnya mengeluarkan satu garis panduan yang menerangkan tentang konsep yang mesti dipegang oleh masyarakat agar tidak berlakunya tuduh menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pandangan Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin di dalam kertas kerja beliau berjudul ‘Ahli Sunnah Wal-jamaah, Pemahaman Semula’ menyebut:

“Berdasarkan pegangan dan penghayatan masyarakat Islam Malaysia, budaya ilmu dan pengajian serta kekuatan undang-undang penguatkuasaan yang tersurat dan tersirat, ternyata meluas dan kukuhnya pengaruh aliran Ahli Sunah khususnya Asyairah dan Maturidiah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek akidah, fahaman aliran Asyairah adalah sinonim dengan Ahli Sunah. Sementara aliran lain seperti Salaf - Ibnu Taimiah dan Wahabiah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati”.

“Fahaman dan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah sebagai Ahli Sunah Waljamaah adalah benar dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang membina kepada kesatuan akidah dan rohani masyarakat Islam. Ini kerana fahaman Asyairah dan Maturidiah pada hakikatnya adalah sebahagian daripada Ahli Sunah Waljamaah tetapi fahaman tradisi ini tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat dan menyeluruh tentang Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman ini juga tidak mampu merentasi generasi Islam yang berada di abad awal Islam yang dikenali sebagai Ahli Salaf atau generasi sebelum Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturidi. Berdasarkan pegangan dan fahaman tradisi masyarakat Islam maka Ahli Salaf dan generasi berikutnya tidak tergolong dalam Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu pemahaman tradisi ini harus dinilai kembali berasaskan pendekatan yang patut ditonjolkan bagi memahami aliran Ahli Sunah yang sebenar dengan lebih terbuka supaya fahaman yang sangat terbatas dan keresahan rohani serta perbezaan pendapat dapat dikurangkan”.
"Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah. Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah. Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.".
Pandangan Prof. Zakaria Stapa

Prof. Zakaria Stapa dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia berjudul ‘Jangan Berpecah Kerana Perbezaan Fahaman Sunni’ menjawab mengenai kumpulan Wahhabiyyah seperti berikut:-

“Masyarakat perlulah memahami bahawa fahaman Wahabi ini bukanlah ajaran sesat kerana ia juga termasuk dalam kumpulan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. Ia adalah gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi. Imam Muhammad Abdul Wahab adalah ulama yang berpegang kepada aliran Hanabilah (Hanbali) yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Pegangan tauhidnya pula berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Dalam aspek akhlak dan tasawuf pula aliran Hanabilah banyak berpegang kepada pandangan Imam al-Harawi al-Ansari dan Sheikh ‘Abd al-Qadir al-Jaylani. Secara umumnya, Imam Muhammad Abdul Wahab muncul ketika pengaruh mazhab Hanbali merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan keislaman seperti percaya kepada khurafat dan melakukan amalan bidaah. Sehubungan itu, beliau melancarkan gerakan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Jadi, dari aspek sejarahnya mereka ini terpaksa mengambil pendekatan yang agak keras dalam usaha mencapai matlamat pembersihan akidah dan amalan keislaman tersebut”.

Keputusan Dar al-Ifta’ Mesir

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Mesir) : Dalam keputusannya bernombor 375292 menyebut, Wahhabiyyah masih lagi termasuk di dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah walaupun mereka berpegang dengan manhaj yang rigid pada sesetengah perkara, maka tidak harus mengkafirkan atau menghukum mereka terkeluar daripada agama.

KESIMPULAN

Dasar kerajaan adalah jelas, Wahhabiyyah ditolak kerana metodologi dakwah mereka yang keras terutama dalam masalah fiqh dan bid’ah tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini. Ia dikhuatiri boleh mengundang kegelisahan dan perpecahan umat Islam. Bagaimanapun aqidah Wahhabiyyah masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bukan ajaran sesat.

Sumber,
Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM
PUTRAJAYA

Wednesday, December 17, 2008

MLM: YANG HALAL DAN YANG HARAM

Oleh: Ust. Ahmad Adnan Fadzil

(Dipetik dari blog Soal-Jawab Agama; http://ilmudanulamak.blogspot.com, kendalian Ust. Ahmad Adnan Fadzil)

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan;

Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai

Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Syarat-syarat bagi akad perniagaan

Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan

Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;

(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.

(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan

(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)

Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.

Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Syarat-syarat yuran keahlian

Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Bonus

Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;

“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Yusuf: 72)

Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;
1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)

Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.

Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;
1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.

Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi.

Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus

Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).

Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid”

Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru. Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah; 1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)


Lampiran 1

SYARAT-SYARAT MLM HALAL MENURUT UST HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN
(Dipetik dari arikel beliau; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)
1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).
2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.
3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).
5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.
6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.
7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.
8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.
9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Lampiran 2
Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?
Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.
Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.
Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.
(Dipetik dari arikel Us. Zaharuddin; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)


Lampiran 3

FATWA TENTANG MELETAKKAN SYARAT BAGI MENDAPAT KOMISYEN

Soalan; terdapat satu system jualan produk yang diperkenalkan oleh beberapa syarikat yang diringkas seperti berkut;
Syarikat menawarkan kepada orang yang berminat menjadi wakil/pengedarnya untuk terlibat mempromosi barangan/produk keluarannya dengan satu kadar komisyen tertentu (cthnya 10%) bagi setiap produk yang dijual, namun syarikat meletakkan syarat komisyen tersebut tidak akan diberikan melainkan wakil/pengedar melakukan jualan dengan jumlah tententu yang ditetapkan Syarikat. Adakah ianya harus?

Jawapan;

Polisi jualan tersebut adalah harus. Ia tidak lain merupakan langkah Syarikat melakukan akad al-Ji’alah (pemberian bersyarat) dengan pengedarnya sebagai imbalan mempromosikan jumlah tertentu dari barangan/produk Syarikat. Jika ia berjaya melakukan jualan dengan jumlah tersebut, berhaklah ia untuk mendapat komisyen yang dijanjikan itu. Jika tidak, tidak berhaklah ia mendapatnya. Masalah ini termasuk dalam bab al-Ji’alah (pemberian dengan bersyarat). Sekalipun ada kemungkinan akan berlaku kepada wakil/pengedar mereka berpenat saja tanpa imbalan apabila tidak berjaya mencapai jumlah jualan yang ditetapkan itu, perkara tersebut tidak akan menjejaskan keharusan mu’amalah tersebut. Ini kerana telah sedia dimaklumi (dalam Fiqh) bahawa akad al-Ji’alah harus berlaku padanya al-Jihalah dan al-Gharah (yakni ketidakpastian) walaupun unsur tersebut tidak harus berlaku dalam al-Ijarah (akad sewaan).

(Fatwa dipetik dari buku Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran, tulisan Syeikh Dr. ‘Alauddin Za’tari,, hlm. 338, ter. Dar al-‘Ashma’, Damsyiq, Syria, 2008. Penulis adalah pensyarah Fiqh dan Ekonomi Islam di University Ummu Darman, Syria dan Kolej University Islam di Lubnan. Beliau memiliki laman webnya sendiri: www.alzatari.org).

Mengapa Empat Mazhab?

(sumber: http://www.almukminun.blogspot.com) (Akh Ikhram - Exco D&T PKPIM 07/08)

Persoalan:
Islam itu berlandaskan al-Quran dan Sunnah, tetapi kenapa ada empat mazhab di dalam Islam?
Terjemahan melalui bahasa mazhab diertikan sebagai tempat untuk pergi. Ia berasal dari perkataan zahaba - yazhabu - zihaaban (ذهب - يذهب - ذهابا) iaitu akar dari kata tersebut. (Untuk kepastian nahu Arab, Tuan diminta merujuk kepada yang ahli).

Manakala, mazhab membawa methodologi atau kaedah yang disimpulkan melalui al-Quran dan dan Sunnah Nabawiyyah. Mazhab yang dimaksudkan adalah “Mazhab Fiqih”.
Sesungguhnya mazhab fiqih itu bukan hanya ada empat sahaja, tetapi masih ada banyak lagi yang lainnya. Bahkan jumlahnya mencapai puluhan. Namun yang terkenal hingga sekarang ini memang hanya empat sahaja.

Sedangkan yang kita kenal empat mazhab sekarang ini adalah kerana keempatnya merupakan mazhab yang telah terbukti sepanjang zaman dan tetap bertahan, sehingga usianya sudah menjangkau dari 1000 tahun.

Al-Hanafiyah, Al-Malikiyah, Asy-Syafi'iyah dan Al-Hanbali’yah adalah empat dari sekian puluh mazhab yang pernah berkembang di masa kejayaan fiqih dan mampu bertahan hingga sekarang ini.

Mazhab Fiqih adalah penting dalam memberi umat Islam pemahaman mengenai nas-nas agama. “Mazhab bukan pecahan di dalam agama ISLAM”

Walaubagaimanapun, kepada golongan yang mengatakan “kami HANYA berpegang kepada al-Quran dan Sunnah!”. Ia bukan semudah yang dikatakan. Mazhab empat yang muktabar wujud bagi memperjelaskan isu-isu atau keadaan yang tidak terfikir dek akal cetek manusia sebelumnya.

Tuan-tuan bayangkan kesudahan daripada pemikiran-pemikiran logik akal akan mewujudkan kelompok-kelompok menafsir al-Quran dan Sunnah mengikut hukum akal. Maka, hukum-hukum fiqih di dalam dunia umat Islam akan berlaku dengan jumlah tidak terhitung. Setiap umat Islam mengaku mempunyai istimbath sendiri dalam berpegang kepada ijtihad hukum.
Contohnya: Jika berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu dia bebas membuat keputusan beradasarkan hukum akal logik.

Munculnya aliran sesat semacam penganut Islam “LIBERAL”, Ahmadiyah, serta kelompok lainnya adalah akibat dari tidak adanya sistem istimbath hukum yang pasti dalam menarik kesimpulan hukum yang benar dari Quran dan sunnah.

Mazhab Fiqih Adalah Memudahkan
Kita mengenal Al-Quran dengan lebih 6000 ayatnya, serta mengenal jutaan hadith nabawi. Tentunya, tidak semua orang mampu membaca semuanya, apalagi sampai menarik kesimpulan hukumnya.

Apalagi mengingat bahwa Al-Quran tidak diturunkan dalam format kitab undang-undang atau peraturan. Al-Quran berbentuk prosa yang mempunyai kelazatan apabila dibaca sebagai bentuk sastera. Tentunya, menelusuri lebih 6000 ayat untuk sebuah kitab undang-undang adalah berat.
Maka para ulama pendiri mazhab itulah yang berperanan untuk menyelesaikan pengistilahan dalam setiap ayat di dalam al-Quran itu. Satu demi satu ayat Quran dibaca, ditelaah, diteliti, dikaji, dibandingkan dengan ayat lainnya, kemudaian dijadikan kesimpulan hukum yang terkandung di dalamnya.

Manakala hadith Rasulullah SAW yang berjumlah jutaan itu, lebih sukar untuk dimengertikan. Ini disebabkan ia memerlukan beberapa peringkat proses sebelum kesimpulan hukum dan sebagainya diletakkan. Antaranya ialah proses meletakkan taraf hadith, samada furu’, dhoif atau maudhu’ bagi mendapatkan darjat shohih. Ia tidak semudah yang dilakukan oleh kelompok pelampau agama dengan sewenag-wenangnya meletakkan taraf sesuatu hadits tersebut tanpa merujuk kepada “sepakat ulama”.

Di dalamnya terdapat ratusan tokoh-tokoh ulama ahli yang meneruskan dan menyebar luaskan mazhab gurunya. Dan masing-masing memiliki pengikut yang jumlahnya paling besar, serta mampu bertahan dalam waktu yang sangat lama.

Para ulama mazhab itu kemudian menulis kitab yang tebal-tebal dalam jumlah yang sangat banyak, kemudian diajarkan kepada umat Islam di seluruh penjuru dunia.

Hasil dari penelusuran dari ayat al-Quran mahupun jutaan butir hadits itu kemudian ditulis dengan susunan yang mudah, dengan bahasa yang lebih difahami khalayak oleh para ulama mazhab itu. Dengan mengikuti sebuah pola tertentu yang sudah ditetapkan sebelumnya secara ilmiah. Ada puluhan bahan, ribuan ulama ahli dan pakar-pakar di bidangnya yang bekerja siang dan malam untuk melakukan proses ini sepanjang zaman.

Sehingga menghasilkan kesimpulan dan rincian hukum yang sangat spesifik dan mampu menjawab semua masalah syariah sepanjang zaman.
Penghasilan daripada imam-imam mazhab ini menghasilkan jasa besar sepanjang kehidupan umat Islam hingga abad 15 Hijriah ini.
Dan semua itu kita sebut sebagai mazhab fiqih!!!

Sekiranya ada, dan sememangnya ada kalangan manusia yang mengatakan mengapa harus bermazhab dan tidak langsung merujuk al-Quran dan Sunnah, sudah terang, lagikan bersuluh bahawa manusia ini tidak tahu akan persoalan usul.

Akibat daripada golongan yang mengambil hukum sendiri daripada al-Quran Kalamullah dan Sunnah, secara tidak sedar dia telah mewujudkan sebuah mazhab baru tanpa bersandar kepada ulama muktabar.

Bagaimana berlaku kesalahan dalam menafsir daripada al-Quran dan hadith dalam sudut hukum? Sanggupkah yang berijtihad diri dalam kapasitui tidak tahu akan ilmu usul menanggung dosa-dosa orang yang telah diajarkannya?

Mengapa Ada Banyak Mazhab?
Banyak orang salah sangka bahawa adanya mazhab fiqih itu bererti sama dengan perpecahan, sebagaimana berpecah umat lain. Sehingga ada dari sebahagian umat Islam yang menjauhkan diri dari bermazhab, bahkan ada yang sampai anti mazhab!

Banyaknya mazhab itu tidak ada kaitannya dengan perpecahan, apalagi permusuhan di dalam tubuh umat Islam. Sebaliknya, banyaknya mazhab dan pendapat itu menunjukkan sangat dinamiknya syariat Islam, serta sangat luasnya wilayah ijithad.

Semakin banyak mazhab sepatutnya kita semakin bangga, bukan semakin sedih. Sebab mazhab itu tidak seperti pecahan-pecahan yang saling bermusuhan. Adanya mazhab-mazhab itu menunjukkan kecanggihan dan keistimewaan syariah Islam.

Analogikan binaan sebuah organisasi yang mempunyai banyak jabatan menunjukkan betapa besarnya jangkauan organisasi tersebut. Ia memudahkan segala urusan dalam memperincikan perkara dan menggambarkan sikap proffesional yang tinggi.

Perbezaan pendapat telah berlaku semenjak Nabi Muhammad SAW masih hidup. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berbeda pendapat dengan para shahabat dalam hasil ijtihadnya, dan pernah ijtihad shahabatnya yang dibenarkan oleh ALLAH SWT.

Penting Untuk Kita Bermazhab
Maka kesimpulan dari jawaban ini ialah, bermazhab itu adalah bentuk paling benar dari slogan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala pandangan yang berbeza terjadi di kalangan pendokong mazhab itu adalah sebuah perkara yang mustahil dihindari. Namun perbezaan itu haram untuk dijadikan dasar perpecahan dan permusuhan, sebaliknya harus menjadi sebuah khazanah kekayaan syariah Islam yang luas dan praktikal.

Maka, sedangkan seorang yang tingkat keilmuannya sudah mendalam seperti Al-Imam al-Ghazali rahimahullah sekalipun tetap berbalik kepada salah satu mazhab yang ada, iaitu mazhab As-Syafi'iyah. Bgaiaman dengan kita? Beliau (Al-Imam al-Ghazali rahimahullah) tetap bermazhab walaupun terbukti kepakarannya mengistimbath hukum sendiri. Begitu juga halnya dengan ulama besar lainnya seperti Al-Mawardi, An-Nawawi, Al-'Izz bin Abdissalam dan lainnya.

Jadi bagaimana pula dengan kita samada mahu bersandar kepada ulama atau ikut nafsu diri….?

Hassan al Banna

Hassan al Banna, Pengasas Ihkwan Muslim - Muslim Brotherhood
Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949, Arab:حسن البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan
Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada
1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.. (Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24)
Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. (Mitchell 1969, 2; Lia 25-26). Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai
tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British. (Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27)
Pada tahun 1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. (Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30)
Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian. (Mitchell 1969, 5)

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun
1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez. (Mitchell 1969, 6)

Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.
Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. (Mitchell 1969, 7; Lia 1998, 32-35)

Dia sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya: kem ketenteraan British, kemudahan awam dimiliki oleh kepentingan luar, dan tempat tinggal mewah milik pekerja Syarikat Terusan Suez, bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. (Mitchell 1969, 7)

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

Layani isterimu dgn baik

Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.

Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah).

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." - Surah al-Ruum: 21.

Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Melalui buku ini, marilah kita menelusuri sunnah Nabi s.a.w tentang peranan suami dalam usaha membentuk hubungan yang penuh mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang) bersama isteri.

Melayani Isteri Dengan Baik

Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak. Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Titmidzi, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi, hadis no: 1082.

Para suami juga dituntut berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam semua perkara yang selari dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. DIA mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-NYA ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-NYA." – Surah al-Nahl: 90.

Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran ALLAH di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang-orang yang berlaku adil di sisi ALALH nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (ALLAH) lalu Nabi mengangkat tangan kanan-NYA. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1827.

Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan." – Surah al-Nisa’: 34.

Walaupun ALLAH telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun ia bukan menjadi 'lesen' bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-isteri mereka.
Kekuasaan yang diberi oleh ALLAH itu sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah ALLAH bagi melayan kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan

Sudah menjadi kewajipan bagi seorang suami memberi nafkah untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka." – Surah al-Nisa’: 34.

Kadar pemberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu). ALLAH tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan ALLAH kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) ALLAH akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." – Surah al-Talaq: 7.

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1830.

Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang besar di sisi ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan ALLAH, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 995.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak yang lebih baik daripada seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya." - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 2129.

Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri dan keluarganya. Apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

Sabda Nabi s.a.w:

"Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150.

Bagi isteri yang mempunyai suami bersikap bakhil, maka dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Hindun bin ‘Utbah bin Rabi’ah pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

"Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 2460.

Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya. Oleh itu, para suami hendaklah benar-benar prihatin terhadap kewajipan memberi nafkah buat ahli keluarganya. Apatah lagi ALLAH telah melebihkan kaum lelaki berbanding kaum wanita dengan beberapa keistimewaan.
Adakah layak bagi seorang suami untuk mendapat keistimewaan ini sekiranya dia tidak menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung kepada harta isteri walaupun mereka mampu bekerja?

Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada harta isterinya.
Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1442.

Sabda Nabi s.a.w:

"Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1442.

Melayani Keperluan Seks Isteri

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566.

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.


Suami Hendaklah Bersikap Romantik Terhadap Isterinya

Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.

Aishah r.a berkata:

"Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 153.

Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya.

Aisyah r.a berkata:

"Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 250.

Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:

"Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 3217.

Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut:

"Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 300.

Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.

Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam hadis-hadis baginda. Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi s.a.w.

Suami Hendaklah Bergurau Senda Dengan Isteri

Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Namun, ia hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata:

"Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2214.

Juga telah diriwayatkan daripada Aishah r.a bahawa Nabi s.a.w pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya:

"Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.a) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasulullah s.a.w yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 950.

Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah Aishah r.a.

Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 949.

Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.


Suami Hendaklah Meluangkan Masa Bersama Isteri

Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.
Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab melayani isteri dengan baik.

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no 1975.

Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.

Membina Suasana Ibadah Dalam Rumahtangga

Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah daripada ALLAH. Oleh itu, salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang sentiasa dihiasi dengan amal ibadah dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan lelaki atau perempuan sedang dia beriman, sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." – Surah al-Nahl: 97.

Para suami hendaklah sentiasa menganjurkan para isteri beribadah bersamanya seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah s.a.w sentiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah ALLAH S.W.T:

"Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya. KAMI tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa." - Surah Toha: 132.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud) sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila baginda ingin mengerjakan solat witir, baginda akan mengejutkan aku." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 512.

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:

"Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Apabila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), dia akan memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga ALLAH merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1113.

Ssewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Disamping itu, suami isteri juga hendaklah berusaha untuk saling memperingatkan antara satu sama lain agar bersama-sama dapat melaksanakan segala perintah ALLAH sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah serta meninggalkan segala larangan-NYA.

Mereka hendaklah berganding bahu menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik berteraskan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang harmoni. Saranan ini sesuai dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." – Surah al-Tahrim: 6.

Suami Hendaklah Sentiasa Menunjukkan Wajah yang Ceria

Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya:

"Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 2626.

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta.


Suami Hendaklah Menjaga Penampilan Diri

Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228.

Ibn Abbas r.a berkata:

“Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.”

Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai keindahan." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 91.

Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.


Suami Hendaklah Sabar Melayani Karenah Isteri

Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5186.

Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram.
Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1469.

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka ia hendaklah dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." – Surah al-Nisa’: 34.

Jika suami telah melihat tanda-tanda penderhakaan wujud pada isterinya, dia hendaklah menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman ALLAH terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya tetapi dia masih tidak berubah, suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr).

Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri akan kesilapannya, suami hendaklah memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menangani sikap-sikap negatif yang mungkin wujud pada para isteri.

Kewajipan Suami Menyediakan Rumah Untuk Isteri

Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ia amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesar serta mendidik anak-anak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." – Surah al-Talaq: 6.

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dan berada di dalam tempoh idah namun ini sebenarnya hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak mendapatkan tempat tinggal daripada suami.
Tentang saiz serta reka bentuk rumah, ia bergantung kepada kemampuan para suami.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." – Surah al-Baqarah: 233.

Bagi suami yang memiliki sedikit harta, dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu. Sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.
Seorang isteri juga berhak mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut.
Penolakan isteri itu berkemungkinan menunjukkan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.


KESIMPULAN

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH S.W.T:

"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Sufyan bin ‘Uyainah r.h berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka ia bererti batil.”

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya