Tuesday, April 28, 2009

Selsema A(H1N1

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan empat langkah serta-merta bagi memantau dan menghadapi risiko wabak selesema babi yang kini melanda Mexico dan Amerika Syarikat serta sudah menular ke New Zealand, Kanada, Sepanyol, Jerman, China dan Hong Kong.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Kawalan Penyakit di kementerian supaya mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau penyakit itu yang sudah mengorbankan 81 penduduk Mexico.

Serentak itu, katanya, semua pengamal perubatan termasuk di sektor swasta diarah memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah serta-merta jika wujud kes yang mempunyai tanda-tanda seperti dijangkiti penyakit itu.

"Kementerian Kesihatan juga sudah mula bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk membuat saringan terhadap pelancong dari luar negara dan rakyat Malaysia yang pernah melawat Mexico, California atau Texas, Amerika Syarikat selepas 17 April lalu.

"Selain itu, kita juga akan memaklumkan menerusi media massa dari semasa ke semasa mengenai perkembangan wabak berkenaan serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak ia merebak ke negara ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, selain 81 yang maut akibat selesema babi di Mexico, 12 kes baru wabak itu sudah disahkan di Amerika Syarikat iaitu di Kansas, California dan Texas, manakala New York turut dikhuatiri terjejas.

Sementara itu, buat pertama kalinya semalam, pihak berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru pulang dari Mexico menghidap selesema babi dan terpaksa dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan 854 kes selesema babi dikesan di Mexico sehingga memaksa pihak berkuasa negara itu menutup sekolah, muzium, perpustakaan dan teater serta membuat saringan di semua pintu masuk dan keluar.

Laporan WHO itu juga menyebut kebanyakan kes selesema babi yang disebabkan virus H1N1 - yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, berlaku di kalangan golongan yang berumur 45 tahun ke bawah.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi.

Sehubungan itu, sebagai langkah tambahan, Liow turut meminta semua rakyat Malaysia yang pernah ke Mexico, Texas atau California selepas 17 April lalu, segera membuat pemeriksaan perubatan bagi memastikan mereka bebas penyakit itu.

"Adalah penting untuk kita segera mengesan semua rakyat negara ini yang pernah pergi ke tempat berlakunya wabak itu bagi membolehkan kementerian memastikan bahawa virus berkenaan tidak masuk ke negara ini.

"Kementerian memandang serius terhadap risiko selesema babi kerana WHO sudah memberi amaran bahawa virus berkenaan boleh merebak dan menyebabkan kematian dengan cepat," katanya.

Ditanya, kemungkinan kerajaan akan mengeluarkan larangan untuk rakyat negara ini berkunjung ke negara yang dilanda wabak itu, Liow berkata setakat ini tiada arahan daripada WHO untuk semua negara berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, menasihatkan rakyat di negara ini supaya tidak cemas dengan situasi yang berlaku kerana Malaysia sudah bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan risiko penularan sebarang penyakit berjangkit.

Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh ketika menguruskan wabak penyakit berjangkit seperti Japanese Encephalitis (JE), Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) dan selesema burung sebelum ini boleh digunakan bagi memperkukuhkan sistem pengawasan.

"Kementerian mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan negara mempunyai sistem mengesan virus terbabit dengan pantas, mengetahui puncanya dan mengawal penularan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Ortodontik Malaysia (MAO), di sini.

Apa itu selsema babi? Boleh dapatkan di sini dan di sini atau di sini.

Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak membuat lawatan ke luar negara berikutan amaran pandemik influenza oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini meningkat ke Tahap 5.

Mufti perlu bangkit bantah keputusan kabinet - Ustaz Mat Iraq

KOTA BHARU, 28 April (Hrkh) - Mufti-mufti di negara ini perlu bangkit mendesak kerajaan menyemak semula keputusan kabinet mengekalkan agama asal anak biar pun ibu bapa mereka menganut Islam.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud berkata, kabinet bukannya mahkamah yang boleh membuat keputusan mengekalkan agama anak biar pun ibu bapa sudah memeluk Islam.

"Ini sudah bercanggah. Kalau kes itu berkaitan dengan agama ia mesti melalui Mahkamah Syariah. Kalau sekali pun kabinet mahu membuat keputusan, namun dalam hal agama ia mesti dirujuk kepada jabatan berkaitan.

"Percanggahan ini terang-terang berlaku dan ia memperlihatkan keputusan kabinet hanya bagi kepentingan politik Umno,� katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini kabinet membuat keputusan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa semasa berkahwin biar pun kemudiannya ibu bapa mereka menganut agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang sebagai merujuk kes Mohd Ridzuan Abdullah dan Indra Gandhi.

Ridzuan nama asalnya Patmanathan a/l Krishnan, 40 kini memeluk Islam turut membawa tiga anaknya berusia berusia 1 hingga 12 tahun menganut Islam. Dia kemudiannya memohon hak penjagaan di Mahkamah Syariah.

Menteri itu juga menyebut mana-mana individu yang ingin menukar agama perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa.

Ekoran kenyataan tersebut banyak pihak membantah termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan pemimpin-pemimpin politik.

Mohamed berkata, kabinet tidak boleh mengetepikan peranan Mahkamah Syariah dalam menangani isu membabitkan agama Islam.

"Keputusan yang dibuat kabinet di bawah perdana menteri baru jelas bagi menjaga kepentingan survival politik Umno untuk mempengaruhi orang bukan Islam di negara ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan BN tanpa merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan hal ehwal agama Islam.

"Ini jelas menunjukkan betapa lemahnya institusi agama berada di bawah pentadbiran kerajaan BN sekarang," ujarnya. - mj _

Saturday, April 25, 2009

Pesta Buku

Salam bertemu kembali, pada 21 April yang lalu aku berkesempatan untuk ke Pesta Buku Antarabangsa KL. Pada jam 10.10 pagi aku tiba tepat di PWTC. Dan buat pertama kali aku menjejakkan kaki di PWTC ini. Sebelum sampai di hentian stesen PWTC (STAR LRT), apa yang terbayang aku terbayangkan yang PWTC ini mesti bertingkat-tingkat tinggi dan tersergam indah. Tiba sahaja aku di stesen ini aku bertanyakan orang di sekitar mana terletaknya PWTC ini. Tak nampak kelibatnya. Setelah aku berjalan ke depan kira-kira 100 meter keluar dari stesen ni baru aku menjumpai PWTC Rupanya ia hanyalah bangunan (ruang dewan) 4 tingkat yang terletak di sebelah sebuah hotel yang diberi nama ...(tak ingat namanya). Ia bercantum dengan hotel tersebut dan kelihatan seperti lobi hotel tersebut yang begitu luas.

Sebenarnya bukan ini yang aku nak ceritakan tetapi berbalik kepada tajuk tadi aku nak menceritakan tentang Pesta Buku ini. Aku telah berjaya membeli beberapa buah buku seperti Kemunculan Dajjal dan Ya'juj Ma'juj (penerbit Pustaka Azhar,Larkin),Hadith 40 (Penerbit Dewan Pustaka Fajar),Keagungan Tamadun Islam Sejarah Yg Digelapkan "Tuan Guru Nik Aziz" (Penerbit Anbakri Publika),Tokoh-tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu (penerbit YADIM),Mengingati 100tahun Hassan Al-Banna dan Sejarah Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden (tulisan Riduan Mohamad Nor). Pada mulanya aku meninjau di beberapa buah lot kedai yang menjual tajuk buku yg sama dan aku membelinya di kedai yg menawarkan harga paling murah. Aku juga tawar-menawar dan ada beberapa buah lot kedai buku aku tawar lagi walaupun buku itu dijual dengan potongan harga yang menarik. Aku dapati Pesta Buku ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua lapisan umur,masyarakat dan bangsa. Seharian aku merayau di Pesta Buku sampai ke petang.

Ada juga satu tragedi di mana aku terlupa bayar dan terpaksa patah balik untuk bayar setelah jauh berjalan meninggalkan PWTC ini.

gambar2 akan menyusul selepas ini
Gambar buku yang tak dapat

Tuesday, April 21, 2009

Exora

Salam, sempena dengan pelancaran Proton Exora baru-baru ini, sy telah berkesempatan melihat dengan lebih dekat EXORA ini

Gambar-gambar akan menyusul nanti
Antara gambar-gambar aku dengan EXORA

Monday, April 20, 2009

Sejarah Demokrasi dan kini

Demokrasi awal mula diamalkan di kota Athens pada zaman silam di Yunani atau Greece purba dengan warganegaranya secara langsung membuat keputusan pemerintahan.

Di kota dan zaman itu jugalah muncul ahli-ahli falsafah Socrates, yang mengajar muridnya, juga ahli falsafah terkenal Plato. Beliau pula mempunyai seorang murid yang juga ahli falsafah besar, iaitu Aristotle.

Kota Athens tumbang ditawan dan dimusnahkan oleh pesaingnya ketika itu, iaitu Sparta yang mengamalkan sistem pemerintahan ketenteraan dan berakhirlah sistem demokrasi awal dalam kehidupan politik manusia itu.

Tetapi antara banyak-banyak negara dalam Yunani purba itu, muncul sebuah kerajaan yang dianggap berada di pinggiran tamadunnya. Negara itu, Macedonia dipimpin oleh Raja Philip yang mempunyai putera bernama Iskandar. Baginda mengarahkan Iskandar belajar daripada Aristotle mengenai segala perkara yang diketahui.

Setelah kemangkatan Philip, baginda digantikan dengan Raja Iskandar. Baginda memimpin bala tenteranya menawan keseluruhan Yunani. Bukan itu saja, baginda merentas ke timur, menakluki Parsi dan terus hingga ke India. Maka wujudlah kerajaan besar Iskandar Agung yang wilayahnya merentas tiga benua, Asia, Eropah dan Afrika.

Baginda menubuhkan ibu kotanya di Babylon (sekarang Iraq) dan mengasaskan sebuah kota besar di Mesir purba yang dinamakan Iskandariah. Dalam bahasa Inggeris disebut Alexandria.

Pengaruh Iskandar Agung ini menyerap ke India yang seterusnya budaya serta pemikiran mengenai kerajaannya tentu akhirnya sampai juga ke Asia Tenggara.

Justeru apabila kitab Sejarah Melayu mengisahkan asal usul Raja-Raja Melayu, tentunya dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Seri Wijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem Raja-Raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.

Maka disebut dalam Sejarah Melayu, asal-usul Raja-Raja Melayu apabila disusur galurkan yang dikisahkan melalui pelbagai mitos adalah daripada Iskandar Agung.

Dalam tradisi Melayu, Iskandar Agung ini juga disebut sebagai Iskandar Zulkarnain, walaupun terdapat pelbagai pertikaian oleh ahli sejarah dan ahli sastera tentang perbezaan antara Iskandar Zulkarnian dan Iskandar Agung.

Antara kisah dalam Sejarah Melayu ialah perjanjian antara Raja dan Datuk Bendahara yang mewakili rakyat. Dari sinilah keluar ungkapan 'Raja adil disembah, Raja zalim disanggah'.

Namun begitu, kerajaan Melayu bermula lebih awal daripada Seri Wijaya. Kerajaan awal muncul di Funan dan kemudian di Champa yang kesemuanya terletak di Indochina sekarang ini. Tamadun Melayu dikatakan bermula di wilayah itu dengan gendang Dongson yang berbentuk bintang berbucu banyak sebagai simbolnya.

Simbol bintang berbucu banyak ini kini dapat diabadikan dalam bendera Jalur Gemilang. MCA juga mengambil bintang berbucu banyak itu sebagai lambangnya.

Jadi ketika kerajaan-kerajaan Melayu itu muncul di wilayah Vietnam dan Kemboja sekarang, di manakah bangsa Vietnam berada? Manusia pelbagai etnik dan kaum bercampur baur baik melalui perkahwinan atau penaklukan dan menghasilkan bangsa baru yang lain.

Tetapi bangsa Vietnam purba pada asalnya hidup di China selatan. Ketika mereka menguasai bahagian dunia itu, China sebagai bangsa dan negara belum dimantapkan.

Maharaja Shih Huang Ti baru hendak menyatukan pelbagai bangsa dan etnik untuk dijadikan satu bangsa berasaskan negaranya sendiri yang bernama Chin. Dalam usahanya itu, baginda ditentang oleh kaum Vietnam purba yang berada di China selatan.

diperluaskan

Hanya setelah membina pelbagai terusan bagi membawa bekalan untuk bala tenteranya, maka China dapat diperluaskan dan menawan wilayah Vietnam purba. Bangsa Vietnam purba pula terdesak dan lari ke selatan membawa sekali kerajaan-kerajaan mereka.

Maka menghala ke selatan, sudah tentu mereka bertempur dan menakluki bangsa-bangsa Funan, Champa, Khmer dan lain-lain, termasuklah bangsa Melayu purba.

Kerajaan-kerajaan Melayu purba ini turut bergerak ke selatan memindahkan kerajaan-kerajaan mereka ke Kemboja, Vietnam Selatan hinggalah ke Pattani dan Semenanjung Melayu.

Di situ, mereka bertembung pula dengan kerajaan Ayuthaya yang sedang memantapkan kerajaan Siam di mana ia mahu menguasai keseluruhan semenanjung Asia Tenggara hingga ke selatan iaitu Temasik.

Kemunculan Parameswara sebagai pewaris kepada Seri Wijaya kemudian mengembalikan negeri-negeri Melayu, daripada Temasik hinggalah ke Pattani untuk berada di bawah Kesultanan Melaka. Pengaruh kesultanan ini juga sampai ke Brunei dan Sulu.

Keupayaan Kesultanan Melaka dapat menapak di mercu tertingginya berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah dengan Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah sebagai Laksamana.

Kebijaksanaan diplomasi juga menyumbang kepada kejayaan ini apabila Melaka mengadakan hubungan persahabatan dengan China, pimpinan Dinasti Ming yang di dalamnya terdapat pengaruh Islam yang kuat.

Maka pada zaman itu, daripada Istanbul di Barat hinggalah ke Zaytun di Timur, baik melalui laluan sutera mahu pun bahtera, sebahagian besar dunia ditadbir dan dipimpin oleh kerajaan-kerajaan Islam dengan sokongan sekutu-sekutunya termasuk kerajaan China. Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting dalam mewujudkan tata kuasa dunia itu.

Tetapi tidak ada kerajaan yang dapat bertahan selama-lamanya. Dinasti Ming tumbang, begitu juga dengan Kesultanan Melaka, Kerajaan Moghul di India dan juga Khalifah Uthmaniah di Istanbul.

Kuasa-kuasa baru Eropah muncul dan yang terbesar datangnya dari England. Negara kecil ini mendapat manfaat daripada kesedaran tamadun yang dinamakan Enlightenment yang asalnya datang daripada Yunani melalui Renaissance di Itali yang muncul melalui kajian-kajian pemikiran Yunani tersimpan oleh para cendekiawan Islam.

Akhirnya Perang Salib membuka ruang pemikiran Yunani yang dikaji oleh cendekiawan Islam kepada orang Eropah. Antara pemikiran inilah yang membawa kebangkitan kaum bangsawan di England untuk mengehadkan kuasa raja melalui piagam yang disebut Magna Carta.

Daripada situ, idea sistem politik yang berasaskan rakyat berkembang. Fahaman demokrasi yang pernah dilaksanakan di Athens akhirnya dimunculkan semula dalam bentuk Raja Berperlembagaan Inggeris. Maka Parlimen England dikenali sebagai "ibu kepada parlimen".

Demokrasi moden mula berputik. House of Lords atau Dewan Bangsawan dan House of Commons atau Dewan Orang Ramai mula merintis kepada kaedah demokrasi moden.

Tentu pada awalnya, sistem Raja Berperlembagaan ini memperlihatkan kesukaran hubungan antara raja dengan Parlimen serta juga dengan Perdana Menteri yang dipilih Parlimen untuk menasihati raja.

Walaupun raja tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan, tetapi pengaruhnya tetap ada dan berbeza-beza mengikut personaliti dan zaman masing-masing.

Maka semasa pemerintahan Queen Victoria, baginda memperoleh pula seorang Perdana Menteri yang juga hebat, Benjamin Disraeli. Pada zaman ini, empayar British terbentang paling luas hinggakan Victoria diisytiharkan juga sebagai Maharani India.

Ternyata sistem raja-raja India sudah tumbang apabila negara itu dijajah sepenuhnya oleh British.

Di China pula, Dinasti Ching yang memerintah berada di penghujungnya. China sedang diancam oleh penjajah-penjajah, iaitu Rusia, Jepun, Jerman, Britain dan Perancis, masing-masing mahu membahagi-bahagikan negara itu.

Britain berjaya menguasai Hong Kong walaupun dalam bentuk pajakan dengan janji perlu dikembalikan pada tahun 1997. Keupayaan Britain memerintah empayarnya yang luas bertunggakkan pada pelabuhan-pelabuhan strategik yang dikuasai.

Dari London, Gibraltar, Port Said, Aden, Bombay, Colombo, Pulau Pinang, Singapura hinggalah Hong Kong berada di bawah kekuasaannya.

Pentadbiran India yang berpusat di Calcutta juga turut mentadbir Negeri-Negeri Selat di Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura.

Walaupun Britain menguasai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kedaulatan masih tetap dipegang oleh Raja-Raja Melayu.

berdaulat

Pada kurun ke-19, negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis masih berdaulat walaupun kekuasaan di luar daripada hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu sudah berada di tangan Inggeris. Namun begitu, pengaruh Raja-Raja Melayu masih besar termasuk dalam soal tanah.

Maka dari satu segi, pada zaman penjajahan British, sistem beraja yang diamalkan di negeri-negeri Melayu bersifat Raja Berperlembagaan walaupun yang menguasai pemerintahan bukannya rakyat tetapi penjajah.

Perkara yang sama juga berlaku di banyak tempat di Hindia Timur Belanda yang kemudiannya menjadi Indonesia. Di Thailand pula, berlaku gerakan untuk mewujudkan Raja Berperlembagaan, tetapi ia tidak datang dari rakyat, tetapi pihak tentera.

Sementara di Jepun, maharajanya juga berdaulat tetapi kekuasaan sebenarnya terletak pada pihak yang menguasai tentera. Golongan tentera inilah kemudian merubah politik Asia termasuk Malaysia.

Dalam perang Dunia Kedua, Jepun berazam untuk menguasai keseluruhan Asia Timur melalui gagasan Kemakmuran Asia Timur Raya dengan Tokyo memerintah keseluruhan China, Asia Tenggara, India dan kepulauan Pasifik sehingga Australia.

Mereka gagal dan apabila Amerika Syarikat menakluk Jepun, mereka menimbangkan sama ada untuk menghapuskan institusi maharaja atau tidak. Akhirnya mereka membuat keputusan memperkenalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan institusi maharaja dikekalkan.

Selepas Perang Dunia Kedua, Britain memberikan kemerdekaan kepada India dengan menggubal sebuah perlembagaan yang begitu kompleks.

Pada mulanya cadangan yang diutarakan ialah untuk menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan di India dengan Ratu atau Raja England menjadi Maharaja India sebagai mewarisi Queen Victoria.

Sistemnya adalah seperti Australia dan Kanada di mana ketua negara dipegang oleh Raja England dengan diwakili oleh Gabenor-Jeneral. Tetapi kemudian perkara ini ditentang dan India menjadi republik dengan presiden tanpa kuasa eksekutif seperti Raja Berperlembagaan.

Di Tanah Melayu, pada mulanya dicadangkan penubuhan Malayan Union dengan menghapuskan sistem beraja. tetapi akibat bantahan orang Melayu dan ancaman komunis, Britain bersetuju menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen bagi Tanah Melayu.

Untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, maka diambil perlembagaan India sebagai rujukan. Oleh kerana sudah ada sistem beraja di negara ini, maka dengan mudahnya diambil cadangan Tunku Abdul Rahman supaya sistem Raja Berperlembagaan yang unik di dunia, iaitu melalui Majlis Raja-raja.

Keindahan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia ini diterima baik dan tidak pernah dipertikaikan, malah kedaulatannya diperluaskan kepada semua Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka yang sebelum itu tidak dinaungi oleh mana-mana raja.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang dan Melaka. Bukan itu saja, semasa penubuhan awal Malaysia, dengan mudah sistem Raja Berperlembagaan ini dapat diterima oleh semua kaum di negara ini dan kedaulatannya meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah.

Keagungan dan kejayaan sistem ini bergantung kepada rakyat negara ini sendiri. Ia merupakan sistem yang unik, penuh warisan dan berkesan. Tetapi untuk menjayakannya, rakyat tanpa mengira kaum wajar sama-sama berusaha untuk mendokongnya supaya negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dapat berfungsi dengan lebih baik. Ingatlah bahawa kehidupan bernegara memerlukan keseimbangan.

Tuesday, April 14, 2009

Bekam

Pada hari Rabu malam Khamis lepas (15 april bersamaan dgn Maghrib 19 Rabiul Akhir) sy telah berkesempatan utk pergi berbekam di Nilai. Seingat sy ini adalah kali keenam sy berbekam selama hidup 24tahun ini. Khasiat berbekam & rasa selepas berbekam sangatlah menyegarkan badan, meringankan badan, pembersihan organ-organ dalaman tubuh badan manusia dsb. Sangat istimewa dan uniknya sunnah Rasulullah ini. Bagi yg tak pernah merasai nikmatnya berbekam ini, sy syorkan cubalah sekali. Bukan apa utk membuang sakit dan pening di kepala selain mengamalkan sunnah Rasulullah. Jangka masa utk berbekam ini ialah 5 atau 6 bulan sekali. Betapa cantiknya sunnah Rasulullah sehinggakan ia dapat menghilangkan / mengurangkan penyakit2 seperti....(dlm posting 17Disember'08 lalu) di samping menstrukturkan semula badan sy yang tak berhenti bekerja 14 ke 16jam sehari. Cuma satu je nasihat abah sy kpd sy iaitu jangan terlalu sangat bergantung kpd bekam. Apabila sakit sikit je bekam, apabila sakit sikit je bekam (sampai ketagih bekam). Tak bolehlah macam ini (mgkin kalian blh juga hayati nasihat ini). Memadailah dengan 4/5/6 bulan sekali. Sy memilih tempat bekam di Nilai ini kerana tempat inilah yg paling murah (RM50) berbanding tempat-tempat lain selama yg sy pernah jumpa setakat ini. Sy juga nak promosikan tempat ini utk sahabat2 atau adik2 yg belajar di kawasan Nilai. Nak tolong abg bekam ini dan abg bekam ini pun akan tolong sy dlm perkara lain (win win situation). Utk kalian yg ingin tahu di mana sebenarnya tempat bekam ini terletak ialah di alamat SA2-11-1B JLN NILAI PERDANA 7 TMN NILAI PERDANA 71800 NILAI N9. Utk lokasi yg lebih tepat lagi ialah ia terletak berdekatan dengan KTM Komuter Stesyen Nilai. Utk adik-adik yg ingin merasai pengalaman berbekam, bolehlah tel sy (utk sy tunjukkan jalannya)

Sekian sahaja. Bertemu lagi


Gambar-gambar bekam sy akan menyusul nanti

Kembali bersambung

Assalamu'alaikum, selamat kembali. Salam pembuka bicara drpd sy. Salam pengikat kasih sayang kembali. Salam tautan kembali dan salam ukhuwwah fillah. Maafkan sy kerana telah menyepi sekian lama, bukan kerana gugur di medan dakwah ini tetapi sebaliknya sebenarnya bermuhasabah diri dan membersihkan diri saya sebagai manusia yang selalu melakukan kesilapan dan dosa. Mengenang kembali apa dosa-dosa yang telah sy lakukan kpd Allah. Dan menyucikan diri sy drpd sifat-sifat mazmumah dan dosa yg selalu dtg dalam diri kita (tanpa kita kehendaki) di samping banyaknya dihimpit kerja-kerja duniawi yg tak habis-habis ini. Kadang-kadang sy terfikir juga adakah sy sudah bersedia utk bertemu Allah walhal kita berkali-kali mengucapkan yg kita nakkan bahagia di dunia dan akhirat dan kita terjemahkan apa yg kita ucapkan ini dengan seimbangkan separuh kerja akhirat dan separuh lagi utk dunia. Maknanya sehari 24 jam diperuntukkan 12jam utk dunia dan 12jam utk ibadah akhirat. Soalannya adakah kita telah berjaya melaksanakan ini? Sy sendiri pun mengakui tidak mampu melakukan ini. Sembahyang beberapa minit je, mengaji beberapa minit je dan beberapa lagi aktiviti dakwah yg sy kira tak sampai beberapa jam dan selepas itu terus sibuk dgn aktiviti dunia. Tepuk dada, tanya iman. Berbalik kepada tadi,InsyaAllah sy akan kembali dengan sesuatu yg baru dan lebih bermanfaat utk tatapan kalian semua. Cukup setakat ini sahaja,sy tak pandai nak bermadah-madah dan menulis ayat berbunga-bunga lagi seperti ini, ini je yg terbaik blh sy hasilkan. Cuma ingin sy tegaskan di sini sy akan berkongsi dengan anda apa-apa yang telah sy lalui selama ini dan benda-benda baru yg akan sy terokai selepas ini.

Marilah kita membuka lembaran baru.

Salam ukhuwwah fillah
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya