Sunday, July 6, 2008

Fitnah

Fitnah adalah satu amalan negatif dan sangat mudah untuk disalahgunakan. Ia sering jadi senjata sesetengah pihak yang mungkar. Matlamatnya supaya golongan mungkar terus hidup segar dan berakar. Matlamatnya supaya penjunjung dan penegak kebenaran pula dilihat oleh masyarakat sebagai kelompok yang kotor dan tercemar.
Fitnah juga boleh dijadikan senjata oleh segelintir manusia yang sangat-sangat gila kuasa, gila takhta dan gila harta. Golongan seperti ini akan menggunakan fitnah ke atas sesiapa sahaja yang disifatkan boleh menghalang nafsu, kemungkaran dan kerakusan mereka.
Sebab itulah fitnah tidak memilih mangsa. Tidak peduli orang besar. Tidak peduli orang kecil. Sesiapa sahaja yang perlu disesah, disesahlah secara habis-habisan. Sesiapa sahaja yang perlu dibelasah, dibelasahlah sampai lunyai.
Lazimnya, seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur jadi mangsa fitnah kerana kebenaran yang dijunjung dan ditegakkan olehnya boleh menjejaskan kelompok yang mungkar, tamak dan haloba. Seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur juga jadi mangsa fitnah akibat hasad dengki, dendam, cemburu, iri hati, khianat, dan lain-lain sifat mazmumah yang sejenis dengannya. Inilah bahana fitnah. Akibat fitnah, seseorang individu yang tulus, ikhlas, dan jujur boleh ditukarkan menjadi seorang manusia yang berimej kotor, buruk dan tercemar. Seseorang yang sangat berjasa dan masih terus berjuang untuk menjunjung dan menegakkan kebenaran boleh dituduh dengan pelbagai celaan, hinaan, dan kata nista yang panjang berjela dan tak berpenghujung.
Bagaimanapun, kesan sesuatu fitnah bergantung kepada jenis saluran fitnahnya. Kalau fitnah itu disebarkan menerusi surat layang, maka tidak parahlah kesannya. Kalau fitnah itu disebarkan secara lisan, tak sejauh manalah kesannya. Tetapi, kalau fitnah itu disebarkan menerusi sutarkhabar atau internet, parahlah padahnya.
Media massa juga memainkan peranan penting kerana menyiarkan sesuatu berita yang tidak tahu di mana hujung pangkalnya yang akhirnya akan membawa kepada fitnah di kemudian hari. Cerita yang benar ditutup, tidak didedahkan serta dibongkarkan. Tetapi yang sebaliknya pula akan disiarkan. Ini semua untuk kepentingan duniawi pihak-pihak tertentu yang menaungi media-media massa ini dengan turut mempolitikkan medium ini.
Sebab itulah fitnah berbahaya kepada kelangsungan seseorang individu, seseorang pemimpin, sesuatu kerajaan, dan sesebuah negara yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Fitnah juga boleh menyebabkan kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara-bangsa hancur dan musnah. Fitnah juga digunakan oleh orang yang kuat atau negara-negara kuasa besar ke atas orang yang lemah atau negara-negara yang lemah, mundur atau kelas ketiga.
Al-Quran ada menyebut, angkara fitnah adalah lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Hadis Nabi pula ada menyatakan, fitnah itu empat puluh kali lebih buruk daripada berzina. Firman Tuhan dan hadis Nabi ini membuktikan, fitnah memfitnah adalah amalan keji. Fitnah memfitnah adalah dosa besar. Fitnah memfitnah boleh menyebabkan sesuatu masyarakat rosak. Fitnah memfitnah boleh menjadikan sesuatu organisasi jadi hancur lebur.
Tetapi, siapa yang peduli akan firman dan hadis seperti di atas? Orang bukan Islam seperti Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, mungkin tidak tahu mengenai hukum fitnah memfitnah. Sebab itu dia balun ikut suka hatinya sahaja. Dia balun Iraq cukup-cukup, semata-mata menerusi fitnah. Sebab itu juga dia sesah dan belasah Afghanistan habis-habisan sampai jadi padang jarak padang tekukur.
Tetapi, yang kita semua ni macam mana yang mengaku Islam? Bagaimana pula kepada mereka yang menjaja fitnah di kedai-kedai makan? Mereka yang menjaja fitnah di hotel-hotel lima bintang, di kota-kota besar, di pejabat persendirian, di pejabat-pejabat kerajaan, di Parlimen dan macam-macam lagi itu bagaimana? Segelintir individu yang menyebar fitnah menerusi internet bagaimana? Segelintir manusia yang bergelumang dengan fitnah di tahap atasan bagaimana?
Mereka semua orang Islam. Mereka semua tahu akan wujudnya firman Tuhan dan hadis Nabi ini mengenai fitnah. Tetapi, apakah halnya sehingga mereka terlalu ralit sangat dengan fitnah memfitnah? Apa sebab sampai mereka seolah-olah ketagih sangat dengan perbuatan memfitnah, menabur fitnah dan mendengar fitnah?
Begitulah hakikatnya fitnah. Dalam sesebuah parti siasah, fitnah adalah senjata tajam yang boleh menghakis maruah, merendahkan martabat dan membinasakan kerjaya seseorang ahli politik.
Ironinya, tukang fitnah tidak peduli akan firman Allah atau Hadis Nabi. Pihak yang menerima dan mendengar fitnah juga dengan sewenang-wenangnya mengulangi fitnah tersebut tanpa sedikit rasa bersalah atau berdosa. Kesannya, amalan fitnah memfitnah pun terus hidup hingga sekarang.

1 comment:

Wan Muhammad said...

Kerana fitnah telah membawa kpd ketidakseimbangan politik, ekonomi dsb kpd sesebuah negara. Oleh itu,jika politik stabil sekali gus berupaya menarik pelabur dalam dan luar negara membuat pelaburan.

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya