Globalisasi dianjurkan oleh negara-negara maju dengan menggunakan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Bank Dunia dan IMF. Sepanjang dua dekad lalu, globalisasi telah membawa kepada melebarnya jurang yang sangat luas antara negara-negara miskin dengan kaya. Kesannya beratus juta penduduk di Selatan (negara-negara membangun) hidup dalam kebuluran. Berjuta-juta kanak-kanak menderita setiap tahun akibat kemiskinan dan tidak cukup zat makanan. Pemusnahan ekologi berlaku dengan pantas di mana tumbuh-tumbuhan dan haiwan lenyap pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini. Sesungguhnya globalisasi mengikut warisan tradisi, adat, nilai dan agama di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Menurut buku Menyanggah Globalisasi Agenda Bertindak Dunia Islam, globalisasi adalah suatu projek yang khusus, telah dicipta, ditaja dan dipromosikan oleh kuasa yang berkepentingan di negara-negara maju. Globalisasi adalah jelmaan terakhir dari sistem ekonomi kapitalis yang bertunjangkan prinsip dan nilai-nilai yang sebahagian besarnya bertentangan dengan Islam iaitu penekanan mutlak kepada budaya kebendaan dan penafiannya terhadap nilai kerohanian dan nilai kudus (sakral). Globalisasi yang ditunjangi oleh sistem ini memperkenalkan doktrin individualisme, materialisme, konsumerisme dan hedonisme yang bertentangan sekali dengan ajaran Islam. Islam menegaskan bahawa kesemua kekayaan adalah milik Allah dan manusia hanya sebagai pemegang amanah kepada harta yang dianugerahkan kepadanya. Berlawanan dengan Islam, eksploitasi, persaingan, pengeluaran dan penggunaan secara maksima serta seluruh sumber bumi ini diguna hanya untuk memenuhi kepuasan manusia menjadi ciri dan tabiat globalisasi itu sendiri. Globalisasi bermula lebih 500 tahun dahulu semasa pelayaran Christopher Columbus menjelajah dan kemudiannya menjajah, mengeksploitasi sumber-sumber dan penaklukan ke atas Amerika, Asia, Afrika dan Oceania dilancarkan. Melalui Revolusi Perindustrian dan pertumbuhan perindustrian Kapitalisme di Eropah pada abad ke-19, telah muncul kilang-kilang pembuatan yang memerlukan bekalan berterusan bahan mentah yang murah dari negara-negara Selatan dan memerlukan pasaran. Maka, golongan kapitalis perlu mencari peluang pelaburan yang baru di Eropah dan juga di negara-negara jajahan mereka. Pilihan yang strategik untuk memenuhi semua keperluan ini ialah dengan mengeksploitasi sumber negara-negara yang mereka jajah iaitu di Selatan. Dengan yang demikian ekonomi negara-negara yang dijajah dipaksa bergabung dengan ekonomi negara penjajah. Kesan langsung dari proses ini selanjutnya ialah ekonomi negara yang dijajah bergantung kepada ekonomi negara penjajah. Melalui hubungan ekonomi yang tidak adil dan saksama ini, sumber-sumber negara yang ditakluki dirampas untuk membiayai ekonomi, pembangunan sains, teknologi dan perkembangan budaya Eropah. Penjajahan ini akhirnya telah memusnahkan ekonomi tempatan negara dijajah, menyebabkan mereka bergantung kepada ekonomi metropolitan negara-negara Utara. Rakyat negara dijajah menjadi miskin dan budaya, adat dan tradisi rakyat mereka juga terhakis. Ekonomi kebanyakan negara membangun terus-menerus bergantung kepada eksport bahan mentah pada harga rendah kepada Utara dan sebaliknya pula mengimport barangan pengeluaran dan jentera dari negara Utara pada harga yang tinggi. Oleh sebab syarat dagangan yang jelas amat berat sebelah ini, negara-negara Selatan terpaksa bergantung kepada bantuan dan pelaburan asing dan pinjaman dari institusi kewangan asing untuk membiayai pembangunan mereka. TNC daripada negara-negara maju yang mempunyai pelaburan di negara-negara membangun pula menghantar balik keuntungan dan dividen yang mereka kaut dari negara membangun dan dihantar ke negara-negara maju. Seterusnya, faedah ke atas wang yang dipinjam dari bank-bank Utara untuk menjalankan pembangunan infrastruktur di negara-negara Selatan juga dikirim balik ke Utara. Oleh itu, walaupun negara yang dijajah sebelumnya memperoleh kemerdekaan politik, pada hakikatnya negara-negara membangun masih bergantung kepada negara Utara. Kemudian, timbulnya pembangunan lestari iaitu sebagai jawapan dan penyelesaian kepada masalah alam sekitar yang semakin musnah akibat daripada sistem ekonomi kapitalis atas nama globalisasi. Konsep lestari menekankan tentang peri penting pembangunan ekonomi yang perlu diselesaikan dengan sumber alam yang amat terbatas tanpa menjejaskan keperluan generasi masa hadapan. Pembangunan lestari hanya boleh dicapai dengan syarat perubahan radikal dilakukan dalam sistem pengeluaran dan pengagihan barangan dan perkhidmatan dan sekaligus perubahan dalam corak penggunaan dan gaya hidup rakyat negara maju di Utara dan golongan elit di Selatan. Malangnya tidak ada langkah serius yang diambil untuk membawa perubahan ke arah ini. Akibatnya pembangunan lestari terus tinggal omongan kosong di pentas persidangan-persidangan antarabangsa. Proses globalisasi telah membawa kepada pembinasaan biosfera kita, hakisan genetik, hakisan tanah, kepupusan spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga serta hakisan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Krisis ekonomi globalisasi, kemiskinan yang semakin parah dan rakyat di negara Selatan yang dinafikan keperluan asas dan rakyat yang miskin di Utara serta hakisan ekologi dan budaya sepanjang abad yang lalu telah mendedahkan mitos mengenai proses globalisasi. Dalam usaha untuk bergerak ke arah mendirikan sistem ekonomi yang benar-benar asli datang dari diri kita sebagai umat Islam, langkah-langkah berikut perlu diambil iaitu pertama kerajaan perlu berusaha untuk menghapuskan tumpuan kekayaan dari tangan beberapa kelompok keluarga sahaja, sebaliknya mengagihkan kekayaan negara dengan adil untuk faedah masyarakat secara lebih luas, kedua kerajaan perlu melaksanakan program penghapusan kemiskinan dan mewujudkan program sekuriti sosial yang berkesan dengan mencapai hasil dalam jangka masa yang ditetapkan, ketiga kerajaan perlu menyediakan pendidikan berasaskan nilai-nilai Islam dan pendidikan yang memperkenalkan dan menggalakkan penghayatan nilai-nilai Islam, keempat kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menghapuskan penggunaan membazir (wasteful consumption) dan menggalkkan kepenggunaan beretika, kelima langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pengeluaran, pengagihan dan penggunaan barangan dan perkhidmatan hendaklah berasaskan pemuliharaan sumber-sumber alam dan perlindungan alam sekitar kita dan keenam usaha-usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menerusi penggunaan teknologi yang bersesuaian perlu disokong dengan aktif. Globalisasi boleh dielakkan sekiranya masyarakat dunia ketiga merujuk kembali kepada sumber-sumber yang ada dalam tradisi ilmu Islam untuk membentuk masyarakat dan menangani masalah kemiskinan, kejahilan dan ketidakadilan sosial yang sedang dialami oleh mereka sekarang. Islam menekankan kepada kepentingan komuniti, menghargai alam sekitar dan keadilan untuk semua, boleh memberi satu alternatif lain kepada model pembangunan neo-liberal yang ada kini.
Jauhi segala maksiat kerana ia menjadi antara sebab tentera musuh menjadi kuat dan pertolongan Allah tertahan. Hidup Ni Tak Lama (Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgamu.... namun tak pula aku sanggup ke nerakamu)
Sunday, May 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz
No comments:
Post a Comment