Wednesday, May 7, 2008

Utusan Malaysia 5Mei

NARATHIWAT 5 Mei - Selatan Thailand terus bergolak dan digegarkan dengan beberapa letupan bom sejak lewat malam tadi.
Dalam perkembangan terbaru, 16 orang cedera, termasuk empat anggota tentera, seorang daripadanya parah dan dua kanak-kanak perempuan, dalam dua letupan bom berasingan dipercayai angkara puak pemisah.
Polis berkata, dalam satu insiden di pekan Narathiwat lewat malam tadi, sebutir bom dalam kotak besi yang diletakkan di hadapan rumah timbalan gabenor wilayah tersebut, diletupkan menggunakan jam tangan digital.
Dalam kejadian itu, 12 orang penduduk cedera, termasuk tiga kanak-kanak perempuan berusia 11 hingga 14 tahun yang sedang mengunjungi satu pesta tahunan.
Sebutir bom lagi meletup di wilayah Ra Ngae awal pagi ini ketika pihak tentera sedang memeriksa kawasan berkenaan berikutan laporan puak pemisah hendak melancarkan serangan ke atas pegawai kerajaan.
"Letupan itu menyebabkan seorang anggota tentera cedera parah, manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan," kata polis.
Puak pemberontak dilaporkan turut menyerang enam pos pemeriksaan tentera di daerah Ra Ngae dan Jao Ai Rong, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Puak pemisah didakwa turut membakar sebuah sekolah di Ruesao dan sebuah bas yang sedang berhenti di wilayah Tak Bai.
Setakat ini, lebih 3,000 orang telah terkorban sejak keganasan berlaku di wilayah selatan Thailand pada Januari 2004.
- AFP-


Thai bergolak lagi?Bila lah agaknya nak berhenti pergolakan di selatan Thai ni?
Mungkin ramai sahabat yang tak tahu yang kawe sebenarnya ada mak saudara yang tinggal di daerah Yala iaitu salah sebuah wilayah yang bergolak di selatan Thai. Sejak berlakunya tragedi Tak Bai iaitu pada 25 Okt ‘04(kawe masih ingat lagi tarikh keramat ni), kawe sekeluarga dah tak masuk Thailand lagi. Dah lama sungguh rasanya kawe tak ziarah mak saudara kawe ni. Yang pernah masuk sekali selepas peristiwa Tak Bai ni ialah abah kawe. Pada masa tu, memang kawe sekeluarga semua berdoa supaya abah selamat sampai Yala dan selamat kembali ke Malaysia kerana semata-mata untuk bertemu dengan adiknya. Sayangnya abah pada adiknya tuhan saja yang tahu dan tak dapat digambarkan. Sudah tentu kawe pun sayangkan mak saudara kawe ni dan sepupu kawe yang berada di sana. Alhamdulillah takde apa-apa yang berlaku, abah selamat pergi dan balik. Kalau tak silap kawe,itulah kali terakhir abah masuk Thai. Sehingga kini alhamdulillah mak saudara kawe selamat di sana. Kini kami hanya berhubungan dengan beliau melalui telefon sahaja. Kadang-kadang tika mendengar atau melihat keganasan yang berlaku seperti ini di televisyen, kawe rasa macam nak bangun berjuang membela masyarakat Islam di Selatan Thai yang dizalimi, tapi apakan daya kawe hanya insan biasa dan orang-orang kebanyakan. Sedangkan pemerintah negara-negara Islam pun tak dapat buat apa-apa, apa lagi diri ini. Dulu kawe ada baca berita yang mengatakan kerajaan Malaysia akan bantu pembangunan di Selatan Thai tapi kemudian berita ni sepi. Betulkah apa yang kawe baca itu atau hanya omongan kosong je? Di mana hasilnya yang dapat dilihat? Kawe tengok serupa je di selatan Thai, makin teruk adalah. Adakah kerana kerenah birokrasi? Atau apa? Kalau betul kawe harap janganlah lambat sangat sampai bantuan daripada kerajaan Malaysia ini, tak kisahlah bantuan dari segi apa-apa pun yang boleh mencegah keganasan ini daripada terus berlaku. Janganlah tunggu sampai beribu orang mati lagi atau orang melayu Islam di Selatan Thai hampir pupus baru nak bagi bantuan. Selamilah penderitaan rakyat selatan Thai ni. Kawe rasa terpanggil untuk berbicara perkara ini kerana kawe masih ingat lagi bila abah kawe cakap masa tragedi Tak Bai tu ada sepupu kawe (sepupu jauh sebab tak cam dia) yang ditangkap kerana menunjuk perasaan di Narathiwat dilonggokkan dibaring di jalan-jalan dan dihumbankan ke dalam trak tentera bertindih-tindih sesama sendiri dengan tangan bergari ke belakang. Ratusan mati kerana lemas dan terseksa. Sampai sekarang ini, kawe tak tahu di mana beliau? Ada lagi ke tidak? Tapi kawe rasa dah takde dah. Rasanya sudah sekitar tiga tahun atau lebih wilayah di selatan Thailand sentiasa bermandi darah. Sampai bila Thailand mahu berbunuhan? Kalau tidak setiap hari, setiap minggu, ada saja jiwa melayang baik penganut Islam mahu pun menganut Buddha. Sebelum rampasan kuasa tentera ke atas mantan Perdana Menteri Thaksin, rata-rata meletakkan angkara itu kepada dasar keras dan kejam Thaksin. Tetapi kerajaan separuh tentera yang berkuasa sekarang tidak juga berupaya menghentikan pertumpahan darah itu, malah keadaan bertambah buruk. Baik rejim Thaksin mahu pun kerajaan yang ada sekarang meletakkan sengketa sekarang adalah gara-gara dalangan puak pemisah. Di samping itu disetujui juga oleh masyarakat Thailand betapa ia juga angkara penindasan dan diskriminasi Bangkok terhadap wilayah dan penduduk di situ. Beratus-ratus penunjuk perasaan dan mereka kebetulan berada di kawasan tunjuk perasaan di Narathiwat dihumbankan ke dalam trak tentera bertindih-tindih sesama sendiri dengan tangan tergari ke belakang. Ratusan mati kerana lemas dan terseksa. Kerajaan Malaysia sekadar menyatakan rasa kesal atas kejadian itu.Kerajaan Malaysia dan majoriti penduduknya adalah pihak yang paling dekat dengan masyarakat di wilayah yang bergolak itu jika dibandingkan dengan kerajaan Bangkok dan masyarakat Thai seluruhnya dalam serba serbi. Sampai bila Bangkok mahu melihat wilayah itu bermandi darah? Adakah meneruskan penindasan termasuk bermandi darah saja cara menanganinya? Atau menghapuskan semua etnik itu? Dan sampai bila jiran-jirannya mengambil sikap tidak hirau? InsyaAllah di lain waktu akan ada lagi cerita daripada kawe yang akan dibawa menyusul selepas ini. Wassalam

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya