Wednesday, June 4, 2008

Muktamar ABIM Selangor

Pada 18 Mei yang lepas aku bergegas menghadiri Muktamar Sanawi ABIM Selangor di Kompleks Belia Dan Kebudayaan Shah Alam, Seksyen7. Aku sampai di sana dalam pukul 10 pagi dan aku bersarapan pagi dulu bersama dengan 2 orang abang ABIMku di kedai bersebelahan kompleks itu sementara menanti program bermula. Program ini bermula kira-kira pukul 11 pagi dengan Pidato Harakyyi yang disampaikan oleh Prof Madya Hj. Shaharudin Bin Baharudin. Beliau membentangkan dan membuat analisis kemenangan BN di peringkat Nasional dengan 140 kerusi Parlimen. Tetapi kemenangan tanpa 2/3 majoriti. Buat pertama kalinya pembangkang berjaya menafikan 2/3 majoriti dengan 82kerusi (PKR-31, DAP-28, PAS-23). Gabungan pembangkang juga berjaya menubuhkan kerajaan di Kedah (PAS), Pulau Pinang (DAP), Perak (Campuran), Selangor (Campuran). Voting shift dalam tren pengundian Cina dengan 70-80% pergi kepada oposisi. Begitu juga dengan tren pengundian India di mana 80-90% undi pergi kepada oposisi atas isu Hindraf. Melayu dari segi tren pengundian masih lagi 50-50, namun ianya bergantung kepada lokaliti. Contohnya di Lembah Klang di mana pengundian Melayu melebihi 50% kepada oposisi. Bagi Cina – faktor menjurus kepada apa saja yang bukan BN. Isu penstrukturan semula ekonomi, ekonomi nasional (barang naik dan harga minyak), diskriminasi Melayu dan local government. India-semuanya atas layanan kerajaan kepada Hindraf dan kegagalan Samy Velu untuk menyelesaikan masalah India. Buat pertama kalinya Cina dan India sanggup untuk mengundi dan menyatakan sokongan terbuka kepada PAS. Aku tertarik apabila penceramah menyebut bahawa orang India sanggup mengakui “ Saya Orang India, Saya Hindu dan saya menyokong kepimpinan Ulama” kerana berlaku trend ramai orang India yang mengundi PAS. Selain itu, kerusi Melayu tidak berganjak malah bertambah di dalam Parlimen dan DUN. Contohnya kawasan majoriti Melayu yang diberikan pada parti komponen BN telah didapatkan semula atas PAS dan PKR. Contohnya Kota Raja, Hulu Selangor, Kuantan, Indera Mahkota, Teluk Kemang dan Bandar Tun Razak. Namun masalahnya kerusi Melayu berterabur ke dalam banyak parti (UMNO,PAS dan PKR). Di akhir pidato, beliau menyelitkan sepotong ayat Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Ali ‘Imran 3:27)
Selepas itu, program diteruskan dengan taklimat khas dari KDH. Wakil KDH melaporkan bahawa bilangan pelajar yang belajar di KDH sangat tenat sekarang iaitu hanya 290 orang daripada 400 orang. Baru-baru ini pelajar yang mendaftar hanya 12 orang. Salah satu faktor kekurangannya ialah promosi di mana promosi terhadap IPT KDH ini sangat kurang dan gagal akibat kita semua yang tidak sama-sama menggalakkan dan mempromosikan tentang kewujudan KDH ini. Kemudian program diteruskan dengan slot pengenalan dan pengisian Projek Kewangan ABIM 25 (PKA 25) yang merupakan projek khas yang diberi nafas baru oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pengembelengan projek ini adalah bertujuan untuk memperkasa perjalanan dan gerak kerja ABIM seperti melengkapkan ABIM dengan sumber manusia terbaik,prasarana organisasi, saluran komunikasi penerbitan dan projek-projek khusus yang dirancang. Hal ini adalah selaras dengan fungsinya menerusi pendekatan PEMBELA, PRIHATIN dan PENDIDIK. Oleh itu, mekanisme PKA 25 telah disusun untuk memudahkan anggota dan individu yang menyokong perjuangan ABIM melakukan amal jariah. Sepanjang 36 tahun ABIM berada di tengah-tengah kancah masyarakat, ABIM masih mengekalkan peranan uniknya sebagai institusi umat yang mandiri setelah mendapat sokongan dan dokongan umat. ABIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan yang telah lama diberikan kepada institusi istimewa ini yang telah melahirkan ramai pejuang,aktivis sosial, pemimpin negara dan tokoh akademik dalam rakaman sejarah perjuangan agama,bangsa dan negara. Namun begitu, cabaran yang lebih rencam mendorong ABIM melakukan persedian secara lebih tersusun dalam memastikan jentera dan sumber manusia yang ada cukup kompeten untuk menggerakkan program dakwah,advokasi dan pendidikan untuk umat. Semua ini adalah sangat penting dalam membina masyarakat Islam untuk menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial dewasa ini. ABIM menetapkan sasaran 1000 orang penyumbang menjelang Muktamar ABIM ke 37 nanti dan PKA 25 ini akan dilancarkan secara rasmi pada sambutan Muktamar ke 37 ini nanti. Berikut adalah maklumat ringkas berkenaan PKA 25. Apakah PKA 25?PKA 25 ialah nama kepada projek sumbangan dana oleh ahli ABIM secara tetap sebanyak RM 25 setiap bulan kepada tabung ABIM. Kenapa Saya Perlu Menyumbang?Sumbangan anda adalah satu bentuk amal jariah kepada masyarakat secara berkala dan konsisten. Program mendidik umat yang dijalankan oleh ABIM memerlukan usaha dan sumbangan dana secara berterusan daripada masyarakat.Bagaimanakah Saya Boleh Menyumbang?Anda boleh menyumbang melalui potongan terus daripada akaun yang telah dipersetujui secara Inter Bank Giro (IBG) . Anda boleh menyalurkan sumbangan anda kepada ABIM walaupun daripada institusi kewangan yang berbeza. Muktamar yang sebenarnya bermula kira-kira pukul 12 tengah hari dengan ucapan daripada YDP ABIM Selangor iaitu Hj. Shirajuddin Sirat. Beliau mengingatkan tentang visi dan misi ABIM, budaya ABIM, asas seorang Muslim iaitu aqidah,syariah dan akhlak, halatuju ABIM Selangor pada sesi tahun lepas, halatuju pada sesi 2008/2009 iaitu buat muhasabah diri dan gerakan,perkemaskan kaderisasi,pemantapan diri dan gerakan serta mengisi harapan umat. Kesimpulan ucapan beliau ialah kita perlu maksimimkan usaha, jangan dikesali qada Ilahi, tiada istilah kecewa dalam Islam dan akhirnya tawakkal kepada Allah. Kira-kira pukul 1 ialah waktu yang aku nantikan iaitu semasa pembubaran dan pengisytiharan jawatankuasa EXCO terkanan ABIM Selangor di mana En. Mohd Zawawi Ahmad Mughni telah dilantik menjadi YDP ABIM Selangor baru bagi sesi akan datang ini. Beliau merupakan TYDP kepada Hj. Shirajuddin Sirat pada sesi lepas. Aku sempat mengucapkan tahniah dan takziah kepada beberapa abang ini. Semoga mereka dapat menunaikan dan menjalankan amanah Allah ini dengan sesempurna yang boleh. Pada pukul 2.30 petang aku bergerak pulang bersama-sama dengan kedua-dua abangku tadi balik ke Serdang.
Persiapan terakhir
Para muktamirin muktabirat
Prof Madya Hj. Shaharudin Bin Baharudin
Ucapan dari KDH
Ucapan daripada wakil ABIM Pusat
Keadaan kompleks yang sunyi dan tenang

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya