Bayangkan kenaikan sebanyak RM840,000 (RM1juta - RM160,000) iaitu peningkatan lebih 500% untuk sebutir pingat emas yang dimenangi atlet dalam Sukan Olimpik Beijing Ogos ini. Kalau kenaikan sebanyak RM100,000 pun dikira sudah melampaui batas, inikan pula RM840,000. Pingat perak pun dinaikkan ke RM 300,000 dan pingat gangsa ke RM100,000. Saya menyifatkan pengumuman ini sebagai tidak masuk akal di kala situasi sekarang. Memang sepatutnya atlet mendapat habuan mereka kerana taraf Sukan Olimpik yang terlalu tinggi tetapi lihatlah kepada keadaan ekonomi Malaysia sekarang dahulu yang menuntut semua pihak berjimat-cermat. Kenaikan ganjaran dan imbuhan itu biarlah berpatutan. Persoalannya daripada mana duit RM1 juta itu diperoleh? Adakah daripada keuntungan Petronas? Atau daripada duit kita? Atau daripada manakah sebenarnya? Sepatutnyalah RM1 juta itu digunakan untuk pemberian subsidi minyak kepada pengguna yang mendapat RM600 setahun bagi sebuah kereta yang dimiliki (isu semasa yang panas dan kenaikan mendadak harga barang keperluan). Daripada RM600 ini bermakna pemberian subsidi minyak kepada saya (setiap pemilik kenderaan) hanya sebanyak RM50 sebulan. RM50 ini kalau diikutkan hanya boleh digunakan kurang daripada seminggu sahaja dan selebihnya dalam bulan tersebut terpaksa guna duit poket saya sendirilah. Saya rasa sepatutnya berbaloilah duit yang saya peroleh setelah penat berbaris panjang di pejabat pos tempoh hari. Sekiranya tidak mahu dan dirasakan tidak sesuai, saya lebih rela melihat RM1 juta itu diperuntukkan untuk membantu warga miskin, mengukuhkan pendidikan dan sebagainya iaitu perkara-perkara yang ada kaitan langsung dengan rakyat. Di manakah janji kerajaan seperti untuk membela rakyat, slogan "Kepimpinan Melalui Teladan" dan sebagainya lagi? Apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apabila kerajaan tidak berduit (ada masalah) nanti mesti mereka akan membebankan rakyat di kemudian hari. Apabila ada masalah tol, mereka naikkan kadar tol, hadapi masalah air mereka naikkan tarif air, ada masalah minyak mereka naikkan harga minyak. Jika itu caranya mereka menyelesaikan masalah, kerajaan telah hilang fungsinya.
Toksahlah kita nak bandingkan negara kita dengan Singapura kerana negara Singapura adalah merupakan salah satu daripada 4 negara terkaya di Asia selain UAE, Qatar dan Kuwait dengan pendapatan per kapita penduduk PPP Singapura adalah AS$48,900 atau 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan per kapita PPP kita. Selain itu, purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang lain? Jadi, rasanya tidak perlulah negara kita nak tiru mereka.
Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nanti? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan.
Saya takut setelah beroleh mencapai habuan tersebut (sama ada Olimpik ini atau habuan pada temasya sukan-sukan lain yang setaraf) ditakuti para atlet sudah berpuas hati dengan pencapaian mereka dan akhirnya prestasi mereka mula merosot dengan sogokan materialistik yang dimiliki (kerana sejarah membuktikan perkara sebegini pernah berlaku).
Saya menggesa agar kerajaan dapat mendidik atlet kita dengan cara lain yang difikirkan lebih sesuai dalam memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik kelak. Jadi, fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment