A Kadir Jasin
Sun | May 17, 09 | 9:49:09 am MYT
SEBUAH universiti di Amerika memutuskan tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Presiden Barack Obama kerana dia belum cukup berjasa dan terbukti prestasinya.
Di Malaysia, universiti berlumba-lumba memberi ijazah kehormat kepada menteri, bekas menteri dan isteri menteri.
Tidak mengapa kalau isteri menteri atau isteri bekas menteri itu tidak jelas atau belum terbukti jasa, kepakaran dan kecemerlangannya. Yang penting dia isteri menteri.
Maaf cakaplah. Macam sesetengah gelaran diraja, gelaran kehormat universiti pun, kata orang putih, sudah jadi "a dime a dozen" atau dalam loghat Kedah, sedozen sekupang.
Di sesetengah negeri, gelaran diraja (termasuk oleh Gabenor) sudah jadi macam lawak. Budak 20-an tahun pun boleh dapat asalkan bapanya jutawan yang pemurah dengan "derma" dan "sedekah".
Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, ada pengarang media massa yang dapat lima atau enam gelaran Datuk daripada negeri dan wilayah. Tak cukup dengan gelaran Datuk, diberikan pula gelaran Datuk Seri.
Khabarnya, di sebuah organisasi media arus perdana, pengurusan baru telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan yang ditawarkan anugerah diraja melaporkan terlebih dahulu kepada pengurusan.
Saya terbaca sebuah berita dari bandar Tempe di Negeri Arizona, Amerika Syarikat di mana Arizona State University tidak menganugerahkan ijazah kehormat kepada Obama kerana pencapaiannya setakat ini belum melayakkannya menerima anugerah itu.
Dengan berseloroh, Obama berkata bukan pihak universiti itu sahaja yang berpendapat beliau perlu menunjukkan lebih banyak kejayaan malah isterinya sendiri, Michelle, juga berpendapat demikian.
Obama berkata begitu ketika menjadi tetamu kehormat di majlis konvokesyen universiti berkenan. Adalah tradisi universiti di Amerika menganugerahkan ijazah kehormat kepada tetamu khas majlis konvokesyen.
Sebaliknya pihak universiti itu menamakan salah satu skim biasiswanya mengikut nama Obama.
Dengan berseloroh, Obama berkata: "Saya datang ke sini bukanlah untuk mempertikai cakap-cakap bahawa pencapaian saya belum memadai. Buat permulaan, Michelle setuju dengan penilaian ini. Dia mempunyai senarai panjang mengenai apa yang belum saya laksanakan, yang menanti saya di rumah."
Kalau di Malaysia, sang isteri akan mengatakan suaminya layak dianugerahkan itu dan ini walaupun sang suami baru sehari menjadi menteri atau menjawat jawatan tinggi.
Kita suka orang luar kata kita sederhana atau "modest". Tetapi ramai orang kita sebenarnya amat suka menunjuk-nunjuk dan gila pangkat.
Mereka tidak begitu peduli pandangan masyarakat terhadap mereka. Akibatnya mereka sangat serius mencari anugerah, pangkat dan gelaran, tetapi mereka tidak berkelakuan seperti orang ternama.
Maka berlakulah situasi di mana budak "kanyir" dan jutawan segera yang entah apa sumbangannya kepada masyarakat dan negara diberikan pelbagai gelaran dan anugerah, termasuk gelaran diraja.
Tidak hairan jugalah kalau begitu ramai penyandang anugerah diraja yang terbabit atau dikaitkan dengan akhlak buruk, skandal dan jenayah.
Ada negeri dan wilayah tertentu di bumi Malaysia ini yang menjadikan penawaran anugerah sebagai cara mencari pengaruh politik dan sumbangan kewangan.
Harap-harap institusi pengajian tinggi kita mengambil iktibar daripada tindakan Arizona State University dengan tidak sewenang-wenang memberi ijazah kehormat kepada sebarang Ali, Ah Kau dan Muthu. - kadirjasin.blogspot.com._
Jauhi segala maksiat kerana ia menjadi antara sebab tentera musuh menjadi kuat dan pertolongan Allah tertahan. Hidup Ni Tak Lama (Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgamu.... namun tak pula aku sanggup ke nerakamu)
Sunday, May 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz
No comments:
Post a Comment