Friday, July 10, 2009

Haji Abdullah Tahir

Sesuai dengan kedudukannya,bumi pantai timur Malaysia telah melahirkan beberapa orang golongan ulama yang berjasa dan turut memperkayakan khazanah Islam di negara ini. Sebuah negeri yang melahirkan ramai ulama itu ialah Kelantan. Seorang daripada pahlawan ilmu yang pernah dilahirkan di Kelantan ialah Abdullah Tahir.

Menurut Yusoff Zaky Yacob,iaitu bekas pengarang majalah Dian,Abdullah Tahir lahir di Pangkalan Lesir,Kampung Sirih,Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Kelantan pada masa itu diperintah oleh Almarhum Sultan Mansur yang terkenal sebagai sultan yang adil dan patuh menjalankan pemerintahan menurut lunas-lunas hukum syarak. Bagindalah Sultan Kelantan yang pertama mendisiplinkan rakyatnya supaya berpakaian sopan dan menutup aurat. Baginda telah memerintahkan tentera supaya berkawal di sepanjang jalan dan menangkap sesiapa sahaja yang didapati tidak memakai pakaian yang menutup aurat. Mereka yang ditangkap dikenakan denda,iaitu dipalitkan dengan cat hitam di badan mereka.

Bapa Abdullah Tahir berasal dari Kampung Cipa,daerah Sering,Kota Bharu. Abdullah Tahir telah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang taat kepada agama Islam. Sejak muda lagi Haji Ahmad telah menaruh minat yang mendalam terhadap ilmu agama. Beliau telah membawa Abdullah Tahir pergi ke Mekah ketika berusia 2 tahun untuk menuntut ilmu. Di Mekah,Haji Ahmad berguru kepada ulama terkenal,termasuk Syeikh Mokhtar Attar. Dipercayai beliau juga berguru kepada Tok Kenali yang ketika itu diketahui sebagai alim di Mekah.

Pada tahun 1903,Haji Ahmadpulang ke tanah air bersama dengan anaknya. Abdullah Tahir yang ketika itu baru berusia 6 tahun. Beliau terus mengajar ilmu agama di Kampung Sirih,kemudian berpindah ke Bunut Payong. Sekembalinya ke tanah air,Abdullah Tahir lebih fasih berbahasa arab daripada bahasa melayu. Ini mungkin didorong oleh suasana sekeliling sewaktu beliau membesar di Mekah.

Haji Abdullah Tahir sebenarnya ialah murid Tok Kenali yang berjaya membuka pondok besar di Kelantan selepas pondok Tok Kenali dan pondok Masjid Kota Bharu. Madrasah Ahmadiyah Bunut Payong yang iasaskannya itu kekal dalam sejarah sebagai pusat pengajian Islam yang berkesan dalam perkembangan Islam di rantau ini.

Ramai tokoh,pemimpin,guru agama,kadi yang lahir daripada Madrasah Ahmadiyah. Madrasah ini memberikan khidmat bakti kepada saudara seagama di seluruh negara,khasnya di Kelantan,Kedah dan Pahang.

Sebilangan besar daripada golongan ulama di Tanah Melayu pada tahun 1930-an hingga 1950-an datangnya dari madrasah ini. Mereka sangat kaya dalam Ilmu Fiqh Syafi'iyah. Haji Abdullah Tahir sering tampil ke depan untuk mempertahankan aliran Fiqh itu dalam pergolakan khilafiyah yang berlaku pada zamannya. Selain pandangan yang terpat serta tajam ketika berbicara dengan penuh semangat.

Haji Abdullah Tahir mula belajar agama daripada bapanya. Pada tahun 1909,ketika berusia 12 tahun beliau telah belajar di Pondok Tok Kenali. Selain itu,beliau juga berguru kepada Haji Nik Abdul Rahman,seorang ahli sufi,pakar Al-Quran dan tulisan Arab. Beliau juga belajar Ilmu Fiqh daripada Haji Idris,iaitu seorang ahli Fiqh yang terkemuka.

Ketika berusia 22 tahun,beliau telah berkahwin dengan Hajah Cik Aminah Binti Datuk Encik Awang (Datuk Bentara Kiri). Hasil perkongsian hidup mereka telah dikurniakan tiga orang anak,iaitu Hassan,Cik Aishah dan Cik Kalthom.

Haji Abdullah Tahir telah belajar di Pondok Tok Kenali selama 15 tahun dan kemudian pergi ke Mekah bersama adiknya,Haji Mokhtar untuk melanjutkan pengajian Fiqh. Di Mekah,beliau telah berguru dengan beberapa orang guru,termasuklah Syeikh Ali Maliki,Syeikh Said Yamani (bapa Syeikh Hassan Yamani-bekas Mufti Terengganu),Syeikh Mokhtar Attar dan Syeikh Muhammad Fatani.

Selepas 4 tahun,beliau kembali ke tanah air. Atas permintaan Haji Nik Mahmud Datuk Perdana Menteri Kelantan,beliau mengajar di Masjid Muhammadi (untuk melihat gambar Masjid ini,baca posting saya tentang Hari Raya Haji tahun lepas di sini) bersama Tok Kenali,Haji Yaakob Legor dan beberapa ulama lain.

Bersambung

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya