Saturday, December 13, 2008

Hari Raya Korban

Hari Raya IdulAdha pada 8 dan 9 Disember lalu aku telah menyambutnya di KB (Kota Bharu),Kelantan kerana mamaku & nenekku ada membuat korban. Aku telah bertolak ke sana (dari JB) pada 6 Disember kerana abahku hendak pulang awal (kerana takut banyak masalah yang akan berlaku nanti kalau lambat,berada di KB sehingga 10 Disember). Kami telah singgah bermalam dulu semalam di Kuala Terengganu (KT) pada malam tersebut. Sewaktu dalam perjalanan ke KT inilah berlaku sesuatu yang tak biasa dan tak pernah kami alami sebelum ini. Oleh sebab abahku sudah mengetahui apabila hendak memasuki negeri Penyu terdapat sesetengah kawasan di Terengganu yang dilanda banjir seperti di Dungun, maka kami mengambil keputusan tidak melalui laluan tersebut (jalan yang sama) dilalui setiap kali kami balik KB tapi kami melalui jalan alternatif kerana kami nak cuba-cuba lalu jalan baru (masuk Lebuhraya Pantai Timur dari persimpangan Jabor sehingga ke persimpangan akhir lebuh raya papan tanda arah ke KT). Sebaik keluar dari lebuhraya ini kami telah tersekat dalam kesesakan lebuh raya yang paling teruk pernah kami lalui dari Marang, Kemaman untuk ke bandar Kuala Terengganu. Inilah kesesakan yang paling teruk sepanjang ingatan kami nak ke KT dan KB. Ingatkan cuba mengelak dari kesesakan dan banjir di laluan biasa,rupanya tersangkut di sini pula. Bayangkanlah aku yang terpaksa menukar gear & berhenti beberapa kali selama 6 jam bermula dari Marang dari pukul 3petang sampai di KT pukul 9malam. Aku rasa betul tekaan abahku yang mengatakan semua pengguna lebuhraya (penduduk Pantai Timur) hanya melalaui jalan tersebut sama ada untuk ke Terengganu atau Kelantan. Sampai di KT,kami menginap di rumah rehat Kuala Ibai,KT. Di Terengganu terdapat banyak rumah rehat (rumah tumpangan) yang dibuat sendiri dengan menjadikan rumah mereka sendiri sebagai rumah rehat. Apabila sampai di rumah rehat tersebut kami terus mengambil kunci. Selepas mengambil kunci,kami keluar semula untuk makan malam. Aku makan roti nan (Terengganu terkenal juga dengan roti nan) berdekatan dengan rumah rehat ini. Kemudian kami "check in" dan aku pun terus tidur sebab penat sangat memandu dan tersangkut dalam jem yang panjang. Untuk pengetahuan,Kuala Ibai ini terletak berdekatan dengan markas PAS Kuala Ibai.

Keesokan paginya (Ahad,7 Disember) kami terus menuju ke KB. Kami singgah makan di tepi jalan di KT sambil bertanyakan orang bagaimana jalan ke KB di depan ini banjir ke... Mereka berkata tidak,hanya sedikit sahaja yang dinaiki air tapi tidak sampai mengganggu naik ke atas jalan raya. Dalam perjalanan ke KB aku perhatikan di kanan kiri jalan penuh dengan air banjir. Ada suatu tempat berdekatan dengan Setiu (tempat tinggal Kak Wahyu Manaf) kelihatan beberapa rumah dinaiki air sedalam sehingga tumit je. Juga kelihatan anak-anak mandi dalam banjir di hadapan rumah mereka. Aku juga dapati di kiri kanan jalan masih ada lagi orang jual daging lembu padahal esoknya sudah raya lalu berkatalah abahku "Orang ni tak raya ke,esokkan raya nanti tak habis jual nanti". Aku hanya mengiakan dan tersenyum. Apabila kami hampir sampai di bandar KB bandaraya Islam,kesesakan jalan raya mula berlaku lagi. Mujur tidak lama dari Pasir Hor ke KB kerana abahku menggunakan jalan pintas untuk cepat sampai. Sampai di bandar KB (bandaraya Islam) abahku terus ke Amanah Raya KB bagi menyelesaikan urusan pusaka sepupu. Kemudian kami ke Pasar Besar Siti Khadijah untuk menikmati makan tengahari dan seterusnya terus berehat di KB sehingga hari raya keesokannya.

Pada hari raya pertama kami bersembahyang raya di Masjid Muhammadi KB (masjid yang tertua di Kelantan,berusia lebih 200tahun). Selesai solat,kami bergegas ke tempat korban untuk bersama-sama penduduk kampung Pasir Tumboh menyembelih lembu. Di sini aku dapat menangkap beberapa keping gambar untuk tatapan semua. Selesai korban, kami dihidangkan dengan masakan istimewa "daging singgang" dengan nasi putih yang sungguh enak (melecur air liur) yang dimasak oleh penduduk kampung hasil daripada daging lembu korban tadi. Sedap sungguh masakan ini. Kami pun sudah lama tidak merasai masakan ini. Balik Kelantan sahaja baru dapat makanan ini.

Untuk pengetahuan,aku lebih suka menyambut raya haji di sini berbanding di JB kerana suasananya yang sangat meriah dan berbeza dengan kota-kota metropolitan yang lain. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana tertunai juga hajat mamaku dan nenekku. Tahun depan giliran abahku pula InsyaAllah.


Masjid Muhammadi, KB

Suasana dalam Masjid Muhammadi, KB

Padang Merdeka (dulu dikenali dengan nama Padang Bank)


Pemandangan Masjid Muhammadi dari Padang Merdeka


Lembu aku yang dikorbankan


Kesian...














Baru lepas disembelih


Kerja-kerja melapah


























Kambing pun nak masuk gambar














Ayah saudaraku


























Nenekku yang berdiri tu



































Keadaan paras Sungai Kelantan yang naik berikutan musim tengkujuh yang melanda

1 comment:

Unknown said...

salam..
kesian pulak,owner blog terpakse ambik gambar sendiri...
asyik snap gambar je tak sudah..
owner tak rewang sekali ke kerjakan lembu tuh...??huhu

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya