Tuesday, November 17, 2009

Rokok

SEBUTLAH apa jua jenis penyakit yang bakal menyerang dan boleh meragut nyawa, semuanya tidak berkesan di hati perokok. Makin ditegah, makin banyak kempen kesedaran diadakan, semakin menjadi-jadi pula tabiat merokok yang kini mula menular di kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

Kanser juga tidak digeruni perokok kerana kebanyakan kes berlaku pada perokok berumur 50 tahun ke atas. Jadi ia sukar memberi kesan di hati perokok muda yang menganggap perkara itu masih terlalu jauh untuk berlaku kepada mereka.

Namun, seperkara yang perlu diingat dan difahami betul-betul ialah, insiden kes kanser mula melanda pesakit muda.

Menariknya, sembilan daripada 10 jenis kanser paling popular bagi lelaki berpunca atau ada kaitan rapat dengan merokok.

Pengarah Eksekutif Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram, berkata penggunaan tembakau (sama ada menghisap rokok, cerut atau paip) menyumbang 30 peratus kematian di kalangan pesakit kanser.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya ada 15 jenis kanser yang dikenal pasti berhubung rapat dengan tabiat merokok, antaranya barah paru-paru, mulut, tekak, buah pinggang, serviks, usus, perut, pankreas dan prostat.

Berita baiknya, dua pertiga daripada semua jenis kanser boleh dielakkan dan caranya sangat mudah, iaitu berhenti merokok. Statistik berdasarkan Persidangan Kawalan Tembakau Malaysia 2005 pada Mei lalu menunjukkan hampir 50 peratus lelaki Malaysia merokok dan jumlah ini adalah jauh jika dibandingkan dengan jumlah purata insiden merokok dunia (49 peratus) dan 39 peratus di negara membangun.

“Dianggarkan ada lapan juta perokok di Malaysia dan yang menyedihkan, 75 peratus mula merokok sebelum umur 20 tahun. Kini, umur perokok semakin muda dan ada kanak-kanak sekolah rendah juga mula merokok. Ini bermakna kebarangkalian mendapat kanser boleh berlaku lebih awal.

“Asap rokok mengambil masa panjang untuk menunjukkan keburukannya. Biasanya, keburukan ini muncul apabila umur menjangkau 50 tahun dan ini sebabnya ia tidak dapat menyedarkan perokok muda. Mereka anggap mereka muda dan perjalanan untuk dapat penyakit masih terlalu jauh,” katanya.

Rasanya semua orang tahu maklumat mengenai asap rokok yang mengandungi 4,000 bahan kimia berbahaya dan 60 daripadanya sangat beracun.

Antaranya Ammonia (bahan pencuci lantai), Aseton (bahan penanggal cat), Arsenik (racun anai-anai), Toluidine, Urethane, Toluena (Bahan Pelarut), Dibenzacridine, Fenol, Butana (bahan api pemetik api), Karbon Monoksida (gas beracun ekzos kereta), Polonium-210, DDT (racun makhluk perosak), Maetanol (bahan api roket), Kadmium (bahan dalam bateri kereta), Naftalena (ubat gegat), Dimethylnitrosamine, Pyrene dan Naphthylamine.

Selain itu, pengusaha memasukkan 60 jenis bahan untuk ‘menyedapkan’ rasa rokok, termasuk gula dan nikotin. Nikotin menyebabkan orang ketagih merokok dan kesannya jauh lebih berbahaya berbanding heroin.

Apabila anda merokok, asap rokok meresap masuk ke air liur dan semua sel dalam mulut. Apabila asap ditelan, semua racun tersebar ke semua sel laluan pernafasan sebelum berkumpul dalam paru-paru.

Air liur bertindak balas memecahkan komponen asap rokok sebelum meresap ke salur darah. Dari sini, bahan beracun dalam asap rokok merebak ke seluruh organ dalam badan.

Ini juga sebabnya seorang lelaki boleh secara tiba-tiba mengalami masalah kesuburan, mati pucuk atau mendapat kanser prostat yang semuanya menyerang dalam diam.

Asap rokok meracuni air liur yang menyebabkannya hilang manfaat asalnya. Akibatnya air liur bertukar kepada bahan yang boleh merosakkan sel dalam mulut dan menyebabkan gigi berlubang serta penyakit gusi.

Dr Saunthari berkata, merokok juga boleh memberi kesan negatif terhadap semua bahagian dalam sistem pencernaan yang menyebabkan masalah ulser dan pedih ulu hati.

Selain itu, asap rokok memusnahkan bahan antioksidan semula jadi dalam air liur dan ia menjadi perangsang kepada pembentukan kanser dalam mulut.

Perokok juga memerlukan lebih banyak vitamin C berbanding bukan perokok kerana kepekatan vitamin ini susut apabila merokok.

Perokok memerlukan 110 miligram vitamin C sehari (bagi wanita) dan 180 miligram bagi lelaki untuk kekal sihat.

“Semua hasil tembakau memberikan kesan buruk sama seperti rokok, walaupun ia tidak dibakar. Tidak benar dakwaan yang mengatakan hisap cerut kurang berbahaya berbanding rokok kerana kandungannya lebih kurang sama,” katanya.

Malah, ada kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Epidemiology menunjukkan, mengurangkan bilangan rokok dihisap setiap hari tidak memberi perbezaan nyata dengan orang yang merokok 15 batang sehari jika dinilai berdasarkan risiko kematian.

Bagaimanapun, orang yang berhenti merokok boleh merendahkan risiko kematian sebanyak 35 peratus. Pun begitu, tidak ramai berdaya sampai ke peringkat ini, melainkan dengan kemahuan sendiri dan disertai semangat tinggi.

“Kebanyakan pesakit saya menyesali tindakan mereka. Untungnya penyakit mereka dapat dikesan awal dan masih boleh dirawat. Dalam keadaan ini, sudah terlambat untuk menyesal, tetapi hidup mesti diteruskan. Justeru, kami di NCSM lebih memberi tumpuan untuk menguatkan semangat mereka,” katanya.

Bekas pesakit kanser di NCSM kini menubuhkan kumpulan sokongan untuk memberi semangat kepada ahli kumpulan atau pesakit baru. Di sini mereka saling berkongsi pengalaman dan menyuntikkan kesedaran mengenai bahaya rokok kepada orang lain.

Sesiapa yang berminat menyertai kumpulan sokongan ini boleh datang ke ibu pejabat NCSM di Jalan Raja Muda Abdul Aziz pada jam 2 petang setiap Khamis minggu ketiga atau hubungi talian 03-26987300 bagi mendapatkan penerangan mengenai kanser.

DATA MENGENAI PEROKOKl:
Jangka hayat lebih pendek 14 tahun daripada bukan perokok.

Rokok penyebab utama kepada:

Penyakit jantung.

Bronkitis.

Strok.

Nafas berbau.

Gigi dan lidah bertukar warna.

Luka dalam mulut sukar sembuh.

Mengurangkan kepekaan deria rasa dan bau.

Melanosis (tisu badan menjadi hitam akibat penghasilan banyak melanin).

Masalah kerosakan gigi dan gusi.

Gingivitis kronik.

Ulser gingivitis.

Rokok penyebab utama kanser:

Paru-paru.

Larinks (peti suara).

Leukoplakia (tompok putih dalam mulut, boleh bertukar menjadi kanser).

Esofagus.

Perut.

Pankreas.

Leukemia.

Buah pinggang.

Usus.

Pundi kencing.

Rokok bertanggungjawab menyebabkan kematian akibat:

Kanser paru-paru.

Penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Sakit jantung.

Strok.





Tolong Forward atau Sebar Luaskan Untuk Kepentingan Islam Dan Umat Islam

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya