Monday, July 12, 2010

Usianya masih muda, perjalanan hidupnya masih jauh, tetapi cintanya pada kampung membawa kepada perniagaan berasaskan produk tradisi yang menjadikan kebanggaan diri dan masyarakat.

Berasaskan kepada penternakan lintah yang diusahakan secara bersama melalui syarikat Kubi Enterprise membuatkan Arjuna Raja Ahmad, 29, sentiasa dahagakan ilmu, mencari sesuatu yang baru untuk dipelajari.

Bermula daripada menternak lintah di dalam 15 bekas tangki yang memuatkan lebih 20,000 ekor lintah, kini Arjuna mengembangkan ilmunya kepada perubatan tradisional iaitu berbekam menggunakan lintah yang dipeliharanya.

Baginya, sesuatu ilmu jika dikongsi, dikembangkan ia akan menjadi lebih berkat, lebih berkesan kerana kerap dipraktikkan. Konsep itulah yang diamalkan dalam perniagaannya, mencuba sesuatu yang baru berasaskan produk sedia ada.

"Memang seronok mencuba sesuatu yang baru, kerana ia melalui proses pengamatan, penelitian dan perkembangan minda. Setiap hari saya menghabiskan masa bersama lintah, mengkaji habitat hidup, melihat bagaimana ia membesar.
Lintah menghisap darah di kawasan yang ditandakan.

"Daripada pengamatan itu, saya lakukan apa yang difikirkan sesuai untuk membiakkan lintah dengan cepat. Syukur, semua lintah di dalam tangki membiak dengan baik sebab ada rakan lain yang menghadapi masalah," katanya.

Selain mengusahakan ternakan lintah di Bandar Putra Perdana, Puchong, Selangor sejak setahun lalu, Arjuna juga menjalankan aktiviti ternakan ayam kampung yang kini masih di peringkat awal dan memerlukan banyak pelaburan.

Anak muda masih bujang ini juga mahir dalam bidang urutan tradisional, termasuk menggunakan lintah untuk berbekam yang dijalankan di rumahnya.

Mengulas lanjut proses pembiakan lintah yang diternaknya, Arjuna menjelaskan, lintah peliharaannya diberi makanan sejenis lumut bertujuan membersihkan sistem penghadaman lintah kerana haiwan yang sama akan digunakan untuk perubatan berbekam.
Arjuna Raja Ahmad

"Kebiasaannya lintah akan makanan berdarah, jadi kami berikan belut dan ikan belacak. Kedua-duanya berkhasiat dan berguna dalam perubatan. Jika lintah menghisap darah ikan itu, sudah pasti kandungan darahnya akan bercampur kandungan khasiat berkenaan.

"Lumut itu pula akan membersihkan lintah, jadi gabungan semua elemen itu akan membantu menghasilkan lintah hidup berkualiti," katanya.

Lintah dewasa yang panjangnya kira-kira sejengkal akan dipilih untuk berbekam kerana ia mampu menghisap darah lebih banyak. Lintah yang sudah digunakan untuk berbekam akan diasingkan di tangki khas dan dibiarkan di situ sehingga kembali ke saiz normal dan bertelur.

Ketika aktiviti berbekam dijalankan, Arjuna menggunakan teknik yang sama digunakan pengamal perubatan lain iaitu menggunakan bekas khas untuk menyedut udara. Sebaik saja bekas plastik itu dikeluarkan, lintah akan diletakkan di tapak berkenaan untuk menghisap darah.

"Proses ini mengambil masa kira-kira dua jam. Lintah akan berhenti menghisap dan jatuh sendiri sebab terlalu kenyang menghisap darah kotor. Ada kes lintah menghisap darah sampai mati.

"Menariknya, lintah tidak akan menghisap darah pesakit Aids. Walaupun kita paksa dengan meletakkan lintah di tapak yang disediakan, lintah itu tidak akan menghisap darah. Itulah istimewanya makhluk Tuhan ini," katanya.

Katanya, lintah yang digunakan untuk berbekam akan diasingkan sehingga dua bulan sebelum dibiarkan bertelur dan kembali ke saiz asal. Lintah itu akan digunakan untuk menghasilkan minyak lintah tradisional khasnya bagi tujuan urutan batin serta masalah luka luaran.

Kini, beliau juga turut menghasilkan minyak lintah yang dihasilkan dengan ramuan campuran termasuk minyak kelapa dara, lada hitam, biji sawi, yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM130 sebotol mengikut dua saiz botol yang disediakan.

Minyak lintah yang dihasilkan itu akan diproses selama 40 hari termasuk ditapa sebelum diisi ke dalam botol.

Syarikat Kubi turut memperkenalkan sistem pawah iaitu ahli baru yang tidak mempunyai asas dalam bidang itu tetapi berminat untuk menjalankan penternakan lintah. Mereka cuma perlu mengeluarkan modal manakala urusan penjagaan, pemasaran dijalankan syarikat.

PROFIL: Arjuna Raja Ahmad
Umur: 29
Asal: Mersing, Johor
Adik beradik: 5 orang (anak ketiga)
Pendidikan:
# Sekolah Kebangsaan Sri Mersing, Johor
# Sekolah Menengah Sri Mersing, Johor
# Sekolah Menengah Teknik Seri Pelindung, Kuantan, Pahang (Pengurusan Perniagaan)
# Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah (bidang automotif)

INFO: Kegunaan lintah

# Berbekam

# Minyak lintah:
- Penyakit kelelakian
- Urat saraf
- Luka luaran

Jenis yang diternak:

# Lintah lembu

# Lintah tembaga

# Lintah induk dijual pada harga borong antara RM1 hingga RM2

# Harga seekor ialah RM3

# Lintah induk diternak sehingga lima bulan sebelum dijual

# Lintah untuk dijadikan minyak berusia antara lapan hingga 12 bulan.

Berbekam:

# Seekor lintah dikenakan bayaran antara RM5 hingga RM7.

# Satu pakej berbekam akan menggunakan 13 tabung plastik

# Setiap bulatan hasil bekas tabung akan diletak antara dua hingga tiga ekor lintah.

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya