Sunday, November 30, 2008

Forum

Saya sempat menghadiri satu forum seperti di bawah ini


Filem

Menonton filem bukan sekadar menonton. Walaupun gelak dan tangis akan berlangsung selama mana filem itu berlangsung. Tetapi betapa ruginya manusia, jika tidak mencari kebaikan dan apa-apa yang bermanfaat dalam filem yang ditontonnya itu. Saya berkata begitu kerana, setiap kali saya menonton filem, saya akan pastikan saya mendapat sesuatu mesej dan manfaat dalam filem tersebut. Baru-baru ini saya berkesempatan menonton filem wayang "Budak Kelantan" di pawagam berhampiran. Sinopsis dalam ceritanya begini

Buchek dan Jaha, dua teman sekampung dengan kehidupan berbeda. Buchek, seorang graduan manakala Jaha, lepasan Sekolah Henry Gurney. Zaman kanak-kanak dan ketenangan di bumi Kelantan ditinggalkan hanya untuk dipertemukan kembali di Kuala Lumpur, kota idaman yang juga kota penuh dugaan.
Pertemuan itu mendedahkan kehidupan hitam Jaha – pedagang dadah, perempuan dan liar, mendorong Buchek untuk membantu sehingga sanggup mengorbankan cintanya apabila menyedari temannya itu jatuh hati pada kekasihnya, Che Nor.
Buchek rela melepaskan Che Nor, namun mampukah cinta mengubah manusia seperti Jaha yang selama ini hidup berkiblatkan Barat itu? Salahkah Che Nor mempertahankan cintanya pada Buchek dengan alasan soal hati bukan sesuatu yang boleh diperdagangkan? Sedang Buchek pula mempertikaikan pendirian Che Nor yang dianggap lebih mementingkan diri daripada perintah Tuhan.
Satu pembunuhan berlaku lalu mencetuskan satu transisi dalam episod cinta dan hidup Jaha, Buchek serta Che Nor.

Antara pengajaran yang diperoleh…walau sejahat-jahat Jaha Amerika, namun tidak terlintas sedikit pun di hatinya untuk menyekat Buchek daripada berpegang pada akhlak dan akidahnya. Manakala Buchek yang begitu suci rela mengorbankan kasih sesama manusia demi merubah seorang sahabat agar sama-sama menjadi kekasih kepada maha pencipta. Gambaran darjat seorang perempuan yang amat murah akan tarafnya diluahkan oleh Jaha Amerika amat jelas dan sekaligus memberi kesedaran kepada perahu-perahu dara yang semakin hanyut di dunia realiti ini. Jarang sekali seorang pengarah muda begini amat berani untuk mempertaruhkan diri untuk berdakwah dalam bentuk seni layar ini.

Saturday, November 22, 2008

Senaman yoga haram: Majlis Fatwa Kebangsaan

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam daripada melakukan senaman yoga secara sistematik kerana boleh memesongkan akidah.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga yang sistematik mengandungi tiga perkara iaitu amalan fizikal, unsur keagamaan, mentera dan pemujaan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam menjauhi dan menghentikan amalan itu kerana tujuan dan matlamat untuk mendapatkan ketenangan serta kemuncaknya konon memperoleh penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah muslim.

Michael Jackson peluk Islam

LOS ANGELES: Penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson, memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel, nama malaikat yang memberi rezeki.

Superstar muflis berusia 50 tahun itu dilaporkan memakai jubah dan kopiah ketika mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam dalam satu majlis di sebuah rumah rakannya di sini.

Akhbar The Sun dalam laporannya semalam mendedahkan majlis itu diadakan beberapa hari sebelum Jackson atau 'Jacko' dihadapkan ke Mahkamah Tinggi London, selepas disaman oleh seorang putera Arab.

Jacko yang dibesarkan sebagai penganut Kristian, dikatakan mengambil keputusan menukar agamanya ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru.

Rakannya, David Wharnsby – seorang penulis lagu Kanada dan produser Philip Bubal, yang menasihatkan Jacko supaya memeluk Islam. Kedua-duanya juga sudah memeluk Islam dengan nama baru mereka Dawud Wharnsby Ali dan Idris Philips.

"Mereka mula berbincang mengenai agama dan bagaimana mereka menjadi seorang yang lebih baik dengan menukar agama. Tidak lama kemudian Michael mula menerima idea itu," kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Jacko yang merakamkan lagu terkenal seperti The Way You Make Me Feel, bagaimanapun menolak nama alternatif, Mustafa – bermaksud orang yang terpilih.

Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya, Cat Stevens, mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.

Jacko kini berdoa untuk ke Makkah selepas satu majlis diadakan di rumah pemain keybord Toto, Steve Porcaro, 51, di Hollywood Hills yang menyusun album Thriller penyanyi itu.

Jacko, yang jarang keluar rumah tanpa memakai topeng, dijangka memberi keterangan Isnin ini dalam tuntutan saman berjumlah £4.7 juta (RM25.3 juta) oleh Putera Abdulla Al-Khalif dari Bahrain. – Agensi


Friday, November 21, 2008

Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim

Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."

Huraiannya

Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.


Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah...

Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati

Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.

Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Ma�thurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.

Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat.

Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.

Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?

Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.

Hati menjadi keras

Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu �Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.

Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.

Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.

Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, �Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.�

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

Penyelesaian masalah

Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:

Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.

Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempeljari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.

Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.

Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.

Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.

Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.

Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.


Thursday, November 20, 2008

Ambil pengajaran dan iktibar

Sila klik di sini utk cerita dan gambar tragedi harimau putih membaham pekerja Zoo Singapura rakyat Malaysia (Nordin). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Thursday, November 13, 2008

Mak nyah juga patut diharam

KUALA LUMPUR - ''Fatwa pengkid harus menyeluruh termasuk mengharamkan juga perbuatan lelaki yang menyerupai perempuan atau mak nyah.''
Itu pandangan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai mengulas isu fatwa pengkid yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 Oktober lalu.
Menurutnya, pengkid dan mak nyah diharamkan dalam Islam tetapi fatwa itu hanya merujuk kepada pengkid sahaja.
Katanya, isu itu jika dibiarkan boleh mencetuskan kecelaruan dan pertikaian.
''Ia boleh dibincangkan secara terbuka tetapi perlu dilakukan dengan berhemah, bukan melalui demonstrasi,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah pula mahu isu itu dibincang secara tertutup.
Katanya, ini kerana hanya kumpulan kecil sahaja dalam masyarakat yang mempersoalkan fatwa berkenaan.

Umat Islam kurang berdakwah

Umat Islam hari ini tanpa disedari ataupun tidak, banyak terlibat dalam melakukan dosa, sama ada besar ataupun kecil, sengaja ataupun tidak sengaja, sedar ataupun tidak, tetapi mereka tetap melakukannya, antara dosa atau kesalahan yang dilakukan ialah tidak menyampaikan apa-apa yang mereka tahu kepada mereka yang tidak tahu atau yang kurang arif mengenai Islam.

Sebagai contoh, kadang-kadang kita melihat ada seorang muslim yang melakukan solat fardu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), masjid atau surau dalam keadaan cara pelaksanaan solatnya tidak mengikut peraturan kaedah solat yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dengan betul lagi tepat, tetapi bagi kita yang melihat, tidak sanggup untuk menegur, tidak menegur kerana takut, atau tidak ada ilmu, atau kerana malas, apapun tindakan kita itu menyebabkan orang yang salah dalam beribadat akan terus merasakan bahawa ibadat solatnya itu betul dan tepat, kerana ia salah sudah tentu ada muslim yang menegur.
Bayangkan jika 20 tahun dia melakukan solat sedemikian, iaitu solat yang tidak diterima Allah, maka dia dianggap serupa seperti orang yang tidak bersolat, maka orang yang tidak menunaikan solat akan ditempatkan dalam api neraka, apakah kita sanggup melihat ada di kalangan orang Islam yang bertahun-tahun melakukan ibadat-ibadat fardu selain solat dengan tidak diberi pahala dan seterusenya menjadi penghuni neraka.
Justeru, amal ibadat yang dikerjakan oleh seseorang muslim itu mesti disandarkan kepada ilmu dan kefahaman yang betul, kerana ia telah disebut dalam disiplin ilmu �Usul Fiqh� maksudnya : Semua amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu, jika ia tidak disandarkan kepada ilmu dan makrifat yang betul, maka sesungguhnya amal ibadatnya adalah tertolak (sia-sia tidak diterima Allah SWT).
Begitulah juga dalam persoalan ibadat-ibadat lain yang menitik-beratkan kepentingan dosa dan pahala, seperti membiarkan muslimat tidak memakai hijab (tudung kepala) atau menutup aurat dengan sempurna, kita sebenarnya berdosa dan mungkin sahaja dihitung dalam himpunan golongan orang-orang yang tidak ada iman di sisi Allah SWT, ia berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : �Sesiapa (di kalangan orang Islam) yang melihat sesuatu yang mungkar, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa yang ada), jika dia tidak mampu melakukannya dengan tangan, maka dia merubahnya dengan lidah, jika tidak mampu juga maka dengan hati (berdoa), itulah selemah-lemah iman.�
Apa yang dapat kita fahami daripada keterangan hadis Nabi di atas, bagi yang merubah mungkar dengan berdoa dianggap sebagai golongan yang lemah imannya, apatah lagi kalu kita tidak menegur, mencegah atau merubah mungkar, sudah tentu ia boleh disifatkan sebagai golongan yang tidak ada iman dalam hati mereka, mahukah kita dilabelkan demikian oleh Allah nanti di akhirat, justeru itu, perhatikan tindakan ketika kita masih berpeluang untuk melakukannya.
Kewajipan menyampaikan informasi agama kepada ummah
Hal ini telah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi sebuah hadis Sohih riwayat Ibnu Omar r.a. daripada Rasulullah yang bermaksud : �Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat, tidak menapa kamu lakukan (ceritakan) riwayat daripada Bani Israel, dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, maka disediakan tempat baginya daripada api neraka.� Hadis riwayat Imam al-Bukahri dan at-Tirmizi.
Jelas daripada keterangan hadis di atas, bahawa baginda Rasulullah s.a.w. mengarahkan umatnya agar sentiasa menjalankan kewajipan menyampaikan ajaran Islam sesama mereka tanpa perasaan prejudis, ia bertujuan untuk menyelamatkan saudara-saudara seagama daripada terus dirundung malang seperti tidak mampu untuk menguasai ilmu-ilmu agama yang semestinya mereka wajib pelajari.
Kita cuba sama-sama bertanya pada diri sendiri, mengapa masih tidak mampu untuk bercakap pada perkara atau urusan agama? Sedangkan kita sudah lama menjadi orang Islam, sedangkan pada masa yang sama saudara-saudara baru kita bersungguh-sungguh menarik orang lain kepada Islam, mereka mempersiapkan diri dengan informasi agama dalam pelbagai pendekatan, sedangkan kita yang sudah bergelar saudara lamapun masih di takuk lama, tidak mahu berubah, kita kata mahu masuk syurga, belajar pun tak mahu, menguasai ilmu agama pun tidak mahu, apatah lagi untuk menyampaikan maklumat Islam kepada orang lain, apakah kita rasa kita sudah berbakti kepada agama?.
Apa yang dapat kita saksikan menerusi program-program di kaca TV, ramai orang Islam petah bercakap mengenai filem, drama, hiburan, sukan tetapi pada masa sama idak berapa petah atau fasih tentang Islam, rasa janggal dan kekok untuk memperkatakannya, bila bercakap tidak mampu untuk berlapik dengan ayat-ayat al-Quran walaupun satu ayat daripadanya, begitu juga dengan hadis-hadis Nabi s.a.w. Sedangkan kita bukan sehari dua menganut Islam, sudah mencecah puluhan tahun dan diberi banyak peluang untuk menguasainya, tetapi tidak mahu melakukannya.
Nabi s.a.w. menyarankan kepada kita apa yang termampu kita sampaikan, kalau tahu satu informasi, sampaikanlah juga kepada orang lain agar mereka juga dapat diingatkan dengan keindahan Islam, kalau tahu dua sampaikan dua, begitulah seterusnya, apa yang menduka-citakan banyak pihak di kalangan orang awam, membiarkan maksiat terus berleluasa tanpa dicegah dan tidak juga menyuruh kepada perkara yang baik-baik yang dijanjikan dengan pahala yang besar daripada Allah SWT, akhirnya umat terus hanyut dalam lautan kegelapan dan merasakan tindakan yang mereka selama ini betul belaka.
Hadis di atas juga mengingatkan kepada kita bahawa tidak menjadi masalah dalam agama Islam jika kita menceritakan perkara-perkara jahat yang dicetuskan oleh orang-orang Yahudi yang sering merancang untuk melakukan kerosakan dalam alam maya ini, sama ada kerosakan dari sudut akhlak manusia atau dalam sistem ekonomi agar manusia tenggelam dalam kancah yang dihina oleh Allah SWT.
Bani Israel (Yahudi) merupakan makhlak perosak yang mencipta segenap perancangan jahat untuk memusnahkan bangsa manusia seluruhnya, perkara ini telah dibonkar oleh al-Quran yang menjadi pedoman umat Islam hingga hari kiamat, siapa yang berjaya menguasainya pasti akan selamat sebaliknya siapa yang mendustakannya pasti tidak akan selamat di akhirat.
Seperkara lagi yang diingatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadis berkenaan, larangan kepada umat Islam dari melakukan tindakan berani dengan membohongi ajaran baginda, menedustai Nabi bermaksud, kita bercakap dan menyandarkan kata-kata itu kepada Rasulullah, sedangkan apa yang kita cakap tidak pernah dinyatakan oleh baginda, begitulah tindakan sebaliknya, menafikan sunnah baginda juga boleh dianggap sebagai tindakan membohongi baginda s.a.w. Akibatnya seseorang itu layak dimasukkan dalam api neraka dengan bangkunya yang disediakan daripada api neraka juga. lanh _
(Ustaz Zainudin Hashim)

Krisis kehakiman 1988: 'Review' semula keputusan tribunal

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Isu pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang terbabit dalam isu krisis kehakiman 1988 tidak selesai dengan hanya menghadiahkan bayaran RM 10.5 juta, sebaliknya kerajaan Umno-BN perlu membersihkan nama hakim-hakim ini.
"Saya tidak mempersoalkan bayaran yang diberikan kepada hakim-hakim terbabit, tetapi persoalannya bayaran itu sebenarnya menandakan kerajaan Umno/BN bersalah dalam krisis 1988 yang menyebabkan pemecatan hakim," kata seorang peguam, Abdullah Abdul Karim.
Menurut Abdullah, meskipun pembayaran telah diumumkan dan secara signifikannya, pembayaran itu menandakan kerajaan lah sebenarnya yang bersalah memutuskan pemecatan Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim yang lain.
Tetapi sehingga kini, walaupun keputusan pembayaran telah dibuat, kerajaan tidak pernah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan hakim-hakim terbabit atas kesalahan mereka, katanya.
Sejak dahulu lagi, kerajaan Umno/BN di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad hingga kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan keputusan tribunal yang memecat Tun Salleh Abbas dan rakan-rakannya, kata Abdullah.
Menyingkap hakikat dalam sebuah penulisan buku Tun Salleh Abbas menceritakan bahawa tribunal diwujudkan khasnya oleh kerajaan ketika itu hanya untuk memastikan keputusan pengharaman Umno oleh Mahkamah Tinggi ketika itu kekal.
Dan tambahnya, Tun Salleh juga mendedahkan dalam bukunya bahawa krisis jawatan dalaman Umno yang berlaku antara Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah, isu kumpulan 11 dalam Umno sebenarnya yang menjadi punca kepada krisis kehakiman 1988.
Malangnya, ketika Tun Salleh mencadangkan permohonan rayuan ke atas pembatalan Mesyuarat Agung Umno 1987 didengar oleh korum 9 orang hakim, kerajaan tribunal diwujudkan khas untuk kononnya membicarakan kesalahan Tun Salleh, katanya.
Tujuan Tun Salleh mencadangkan agar 9 hakim mendengar rayuan kes pengharaman Umno dan membatalkan keputusan Mesyuarat Agung Umno 1987 adalah supaya keputusan tidak bias kepada mana-mana pihak, katanya.
Sebaliknya, kata beliau ketika itu Tun Mahathir yang telah menghidu sebarang masalah yang bakal dihadapinya jika 9 hakim memutuskan membatalkan Mesyuarat Agung Umno 1987 bertindak mengwujudkan tribunal.
Sekaligus ujarnya, pengwujudan tribunal itu ada kaitan ke atas usaha Umno ketika itu untuk memastikan usaha Tun Salleh gagal, dan mengheret Tun Salleh kepada pemecatan dengan pelbagai dakwaan.
Selepas Tun Salleh dan hakim-hakim terbabit dipecat, Umno meneruskan dakyah bahawa keputusan tribunal memecat mereka terbabit adalah benar dan ia dipertahan hingga kini, katanya.
"Persoalan bayaran adalah hal lain, tetapi membersihkan nama hakim-hakim terbabit adalah penting kerana disanalah mulanya krisis kehakiman, campur tangan eksekutif ke atas badan kehakiman yang menyebabkan badan itu tidak bebas," katanya lagi.
Begitupun kata Abdullah petsoalan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan di atas krisis tersebut boleh selesai hanya dnegan review semula keputusan tribunal itu.
Sama ada dengan mengwujudkan semula tribunal khas atau sebagainya, usaha ini perlu dilakukan oleh kerajaan demi membersihkan nama hakim-hakim terbabit, katanya.
Selain itu beliau mencadangkan agar kerajaan mengwujudkan Suruhanjaya Kehakiman khasnya bagi urusan pelantikan hakim-hakim.
Hal ini katanya, boleh mengelak dari campur tangan eksekutif yang didakwa berlaku hari ini di atas pelantikan hakim-hakim.
Zaid kesal, bayaran diumum
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan kerajaan mengumumkan jumlah bayaran ex-gratia ke atas hakim-hakim terbabit.
Beliau kesal dan dukacita kerana tidak dapat mengotakan janji kepada bekas hakim-hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 untuk tidak mendedahkan jumlah saguhati yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka awal tahun ini.
Katanya, beliau selaku menteri yang bertanggunggung jawab dalam hal ehwal kehakiman dan Perdana Menteri telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim berkenaan atas permintaan hakim-hakim berkenaan yang dianggapnya sebagai wajar.
"Hakim-hakim berkenaan tidak pernah meminta wang ini dan tidak mahu wujud polemik pada kemudian hari dan tidak mahu mengalihkan hasrat murni ini jika perkara in ididedahkan.
"Kami kesal dan dukacita kerana kami tidak dapat mengotakan janji kami kepada hakim-hakim ini.
"Adakah ini bermakna bahawa kata-kata yang lahir dari bibir menteri kerajaan tidak lagi boleh dipandang serius?" katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam hakim berkenaan.
Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.
Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.
Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.
Menurut Nazri, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916). - mks. _

Bincang secara ilmiah dan tertutup

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu kemusykilan dan pertikaian tentang fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dibincangkan secara ilmiah dan tertutup.Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Yusri Mohamad berkata fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah."Jika pertikaian timbul, ia hendaklah disalurkan secara sihat ke proses perbincangan tertutup yang disertai pakar-pakar dalam isu yang dibincangkan," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata tindakan pihak-pihak tertentu terutama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, akan hanya mencetuskan ketegangan dan perselisihan di kalangan masyarakat.Sehubungan itu, katanya ABIM mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama mengambil inisiatif lebih agresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum rasional fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini yang mengharamkan perbuatan perempuan menyerupai lelaki atau pengkid.Baru-baru ini sebuah NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi di sini membantah fatwa mengharamkan pengkid.

Tuesday, November 11, 2008

Obama diharap pertahan keluhuran hak asasi manusia - Nik Aziz

KOTA BHARU, 11 Nov (Hrkh) - PAS mengharapkan Presiden baru Amerika Syarikat membetul dan mempertahankan keluhuran hak-hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengundi telah bertindak seadilnya memilih Barrack Obama, seorang yang dilihat menjadi pilihan rakyat kerana perjuangannya untuk rakyat.
"Kebangkitan Obama yang meletakkan warga kulit hitam pertama yang berjaya menduduki carta Presiden Amerika Syarikat sudah tentu dapat melenyapkan mitos bahawa bangsa berwarna itu tidak berkelayakan dan tiada merit untuk berada di kerusi kepimpinan.
"Sudilah kiranya menerima ucapan tahniah setulus ikhlas selepas kejayaan yang hebat dalam kerjaya tuan apabila mampu sampai ke kemuncak dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44," katanya dalam surat yang dihantar kepada pejabat Presiden Amerika di Chicago.
Surat tersebut bertarikh 6 November lalu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cabaran-cabaran semasa seperti isu tafsiran yang salah mengenai keganasan, hubungan diplomatik yang tegang dengan dunia Islam dan krisis ekonomi global perlu ditangani sebaik mungkin.
Menurutnya Obama terpaksa mewarisi perkara-perkara yang harus diteliti secermatnya.
"Semoga Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani mengurniakan keberanian dan jalan yang benar dalam menampalkan semula ayat-ayat suci kitab Injil yang telah dikoyak.
"Nabi Isa a.s tidak sama sekali seorang yang ganas atau menjadi pengkhianat terhadap umat manusia," katanya.
Kata beliau tanpa mengira perbezaan politik, warna kulit dan kepercayaan, mana-mana pemimpin Islam atau Kristian harus menyokong sepenuhnya usaha-usaha ke arah perdamaian mempertahankan kebebasan dan mengekalkan keamanan sejagat.
"Marilah kita sama-sama mempereratkan hubungan dua hala dalam proses saling hormat-menghormati demi faedah dan kepentingan bersama.
"Tahniah sekali lagi. Semoga Allah melimpahkan segala belas ehsan dan kasih sayang kepada kita," katanya. - mj _

Friday, November 7, 2008

NC UM baru (mantan Presiden MMU)

KUALA LUMPUR - Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim mengesahkan kontrak perkhidmatannya yang tamat esok, tidak disambung.Rafiah ketika dihubungi memberitahu telah menerima satu panggilan telefon daripada pihak universiti yang memaklumkan perkara tersebut.''Namun, saya tidak diberitahu sebab (kontrak) tidak disambungkan.''Saya hanya dimaklumkan bahawa saya tidak akan disambung kontrak sahaja,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Rafiah dilantik sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006.Pemilihan Rafiah ketika itu dianggap sebagai bersejarah memandangkan beliau merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut, apatah lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor di universiti paling berprestij di negara ini.Sementara itu, Rafiah memberitahu, beliau akan diganti oleh Presiden Universiti Multimedia (MMU), Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon.

Thursday, November 6, 2008

Presiden baru

WASHINGTON: Presiden baru Amerika Syarikat, Barack Obama, mula membentuk barisan pentadbirannya menjelang 10 minggu lagi untuk memasuki Rumah Putih. Selepas mencatat sejarah menjadi Presiden kulit hitam pertama Amerika, semalam, beliau berdepan harapan yang amat tinggi bagi menyelesaikan kegawatan ekonomi global selain konflik peperangan di Iraq dan Afghanistan. Obama nyata pantas membina pasukannya ke Rumah Putih dengan meminta Rahm Emanuel, rakan politiknya dari Illinois untuk berkhidmat sebagai Ketua Staf Rumah Putih.

Beberapa wakil Demokrat mengesahkan Emanuel sudah ditawarkan jawatan itu, tetapi sama ada Emanuel menerima atau tidak setakat ini tidak dapat disahkan. Dengan beratus jawatan untuk diisi menjelang Obama memasuki Rumah Putih pada 20 Januari depan, Obama dan barisan pentadbirnya berdepan tekanan terutama daripada pelobi. Obama sebelum ini pernah merujuk pelobi politik dengan berkata: "Saya tidak akan kelabu dengan wang dan jika saya menjadi Presiden, mereka tidak akan ditawarkan bekerja di Rumah Putih."
Pada sebelah pagi semalam, beliau bersarapan dengan dengan isteri dan dua anaknya di rumah mereka di Chicago, sebelum ke gimnasium dan melawat pejabatnya. Rakan rapatnya berkata, Obama bercadang tidak keluar di tempat awam sehingga minggu depan selepas berjanji untuk mengadakan sidang akhbar. Obama juga dikatakan mula menerima taklimat mengenai perkara sulit daripada ketua perkhidmatan perisikan negara. Dengan menawarkan jawatan di Rumah Putih kepada Emanuel, Obama dikatakan menukar stail dan caranya mentadbir yang sebelum dikenali seorang yang tegas.
Emanuel pernah berkhidmat penasihat polis kepada Bill Clinton di Rumah Putih. Beliau kemudian beralih kepada sekotr pelaburan bank sebelum menang kerusi Perwakilan Chicago, enam tahun lalu. - AP
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya