Tuesday, November 11, 2008

Obama diharap pertahan keluhuran hak asasi manusia - Nik Aziz

KOTA BHARU, 11 Nov (Hrkh) - PAS mengharapkan Presiden baru Amerika Syarikat membetul dan mempertahankan keluhuran hak-hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengundi telah bertindak seadilnya memilih Barrack Obama, seorang yang dilihat menjadi pilihan rakyat kerana perjuangannya untuk rakyat.
"Kebangkitan Obama yang meletakkan warga kulit hitam pertama yang berjaya menduduki carta Presiden Amerika Syarikat sudah tentu dapat melenyapkan mitos bahawa bangsa berwarna itu tidak berkelayakan dan tiada merit untuk berada di kerusi kepimpinan.
"Sudilah kiranya menerima ucapan tahniah setulus ikhlas selepas kejayaan yang hebat dalam kerjaya tuan apabila mampu sampai ke kemuncak dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44," katanya dalam surat yang dihantar kepada pejabat Presiden Amerika di Chicago.
Surat tersebut bertarikh 6 November lalu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cabaran-cabaran semasa seperti isu tafsiran yang salah mengenai keganasan, hubungan diplomatik yang tegang dengan dunia Islam dan krisis ekonomi global perlu ditangani sebaik mungkin.
Menurutnya Obama terpaksa mewarisi perkara-perkara yang harus diteliti secermatnya.
"Semoga Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani mengurniakan keberanian dan jalan yang benar dalam menampalkan semula ayat-ayat suci kitab Injil yang telah dikoyak.
"Nabi Isa a.s tidak sama sekali seorang yang ganas atau menjadi pengkhianat terhadap umat manusia," katanya.
Kata beliau tanpa mengira perbezaan politik, warna kulit dan kepercayaan, mana-mana pemimpin Islam atau Kristian harus menyokong sepenuhnya usaha-usaha ke arah perdamaian mempertahankan kebebasan dan mengekalkan keamanan sejagat.
"Marilah kita sama-sama mempereratkan hubungan dua hala dalam proses saling hormat-menghormati demi faedah dan kepentingan bersama.
"Tahniah sekali lagi. Semoga Allah melimpahkan segala belas ehsan dan kasih sayang kepada kita," katanya. - mj _

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya