Wednesday, December 2, 2009

PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA

PERUTUSAN
Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1430 HIJRAH
PADA 10 ZULHIJAH 1430 H BERSAMAAN 27 N0VEMBER 2009

Bismillahirrahmanirahim


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,


1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dalam keadaan aman, kesederhanaan dan penuh keberkatan. Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, ia diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhjjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang sunat dilakukan pada 10,11,12 atau 13 Zulhijjah.

2. Ibadah korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang berkemampuan ke atas haiwan seperti lembu, kambing dan sebagainya agar dagingnya dapat diagihkan kepada golongan fakir dan miskin yang tidak berkemampuan. Selain sembelihan korban, ada banyak lagi pengajaran korban di dalam Islam termasuk mengeluarkan zakat ke atas harta dan pendapatan mengikut kiraan tertentu agar kekayaan itu turut dikongsi dan dimanfaatkan bersama oleh golongan yang amat memerlukan.

3. Jelasnya, kerelaan berkorban menginfakkan harta kekayaan bagi membantu yang daif amat dituntut oleh Islam. Kita perlu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T dan sanggup berkorban untuk membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif. Sebenarnya Islam menzahirkan satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik.

4. Sekarang ini kita menyaksikan beberapa negeri sedang dilanda banjir. Lebih menyedihkan, tatkala kita sedang meraikan Hari Raya Aidiladha, terdapat ramai umat Islam yang terpaksa meraikannya di pusat-pusat pemindahan.

5. Mereka terpaksa meraikannya dalam serba kekurangan dan kepayahan di sebalik rumah yang tenggelam dan digenangi air. Justeru, marilah kita zahirkan tanda pengorbanan kita dengan menghulurkan bantuan seadanya untuk meringankan beban saudara-saudara kita yang menjadi mangsa banjir.

6. Bantuan berupa barangan ataupun wang ringgit amat mereka perlukan apatah lagi setelah menyaksikan kemusnahan dan kerosakan harta benda mereka yang cukup menyayat hati. Oleh itu, di hari yang mulia ini, janganlah dibiarkan mereka bersendirian tanpa dibantu oleh sesiapa. Begitu juga dengan umat Islam yang lain yang turut berada dalam kesusahan. Perlu dibantu seadanya.

Saudara dan saudari sekalian,

7. Korban juga membawa definisi menyeru umatnya supaya sentiasa mengutuhkan perpaduan, mengelakkan perpecahan dan menjuarai keamanan agar nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri akan terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri demi kesejagatan dan kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah, masyarakat Islam di negara kita dapat melakukan segala ibadah dalam keadaan aman dan sempurna. Inilah nikmat yang mungkin tidak dapat dirasai oleh masyarakat Islam negara lain.

8. Sememangnya, umat Islam di negara ini dihormati kerana kita merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi. Inilah satu lagi nikmat yang Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita. Justeru, kita sewajarnya mengamalkan pendekatan yang bersifat Wasatiyah (Sederhana) dengan menghormati semua agama, bangsa dan kaum lain.

9. Bersamalah kita ketepikan perbezaan fahaman politik, bersedia korbankan kepentingan diri, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersatu hati dan meningkatkan martabat agama, memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan kita daripada pelbagai keturunan, agama dan bangsa. Sewajarnya sebagai seorang muslim, kita wajib menyempurnakan tugas, tanggungjawab serta patuh kepada ajaran Allah S.W.T dengan merapatkan saf, menyemai semangat kekitaan dan menginstitusikan keakraban silaturahim sesama insan.

10. Di hari yang mulia ini, jangan dilupai para jemaah haji kita yang sedang menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima di tanah suci. Marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar- jemaah haji kita di sana dapat menjalankan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur serta kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah suci dapat kita manfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

11. Pengakhir kalam, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui semangat muhibbah. Inilah resipi perpaduan Satu Ummah di dalam Gagasan 1 Malaysia yang kita impikan.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya