Wednesday, April 30, 2008

Elak Budaya Melampau

Umat Islam perlu merenung dan mengkaji setiap peristiwa yang berlaku dalam negara mereka. Pertumpahan darah dan rusuhan yang wujud dalam negara Islam adalah berpunca daripada sikap dan mentaliti umat Islam sendiri dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.
Umat Islam perlu mengkaji kelemahan diri dan menunjukkan sikap keterbukaan dalam hal ehwal politik dan kemasyarakatan.
Sikap terlalu takut untuk menghadapi kritikan menyebabkan umat Islam menjadi fanatik dalam tindak-tanduk mereka. Fanatik bukan hanya diamalkan oleh golongan pelampau agama malah ia juga merupakan amalan kepada ahli-ahli politik yang terlalu rakus kepada kuasa dan kedudukan. Kerakusan dalam kekuasaan dan kedudukan menyebabkan umat Islam buta melihat realiti kehidupan seharian mereka.
Dalam konteks negara Islam masa kini kebanyakan ahli politik lebih cenderung kepada perjuangan untuk merebut kuasa dan kedudukan bukan untuk menstabilkan kedudukan politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Bagi golongan yang memegang kuasa, sikap rakus terhadap kebendaan menyebabkan mereka menggunakan kuasa dengan sepuas-puasnya mengaut kekayaan negara untuk diri mereka tanpa memikirkan hak dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Sikap fanatik golongan yang tamak ini boleh dilihat secara jelas oleh masyarakat apabila mereka berselisih sesama sendiri kerana berebut kekayaan negara.
Sepatutnya ahli-ahli politik yang mempunyai sikap yang tamak sebegini perlu disingkir oleh pucuk pimpinan negara kerana mereka tidak menunaikan amanah kerajaan. Sikap dan mentaliti mereka yang terlalu tamak boleh menyebabkan rakyat menjadi resah dan gelisah kerana mereka terpinggir daripada pembangunan negara.
Sikap terlalu berlembut dengan ahli-ahli politik yang bertuhankan kebendaan dan pangkat bukan sahaja boleh menjatuhkan imej kerajaan malah ia boleh menyebabkan kebencian dan kemarahan. Sepatutnya pucuk pimpinan negara perlu mengawasi setiap ahli-ahli politik yang dilantik secara sulit supaya tipu helah mereka tidak mengaburkan pandangannya mengenai keperibadian ahli-ahli politiknya.
Apabila ahli-ahli politik menyedari bahwa tindak-tanduk mereka berada dalam pengawasan pihak berwibawa maka mereka akan menunjukkan sikap yang jujur dalam perkhidmatan sebagai wakil masyarakat. Mereka akan menjadi orang yang berani menghadapi kritikan dan cabaran daripada pihak tertentu kerana tidak ada sebarang rahsia berkaitan dengan kelemahan mereka.
Sikap dan ketelusan mereka dalam kepimpinan merupakan benteng pertahanan yang kukuh yang sukar untuk dipatah oleh pihak lawan kerana kebenaran, kejujuran, pengorbanan dan keterbukaan dapat disaksikan oleh berjuta orang penduduk dalam negara. Mereka tidak akan menjadi orang yang fanatik apabila berhadapan dengan pihak lawan kerana mereka mampu untuk menampilkan diri sebagai orang yang gagah mempertahankan kebenaran dan maruah negara dan agama.
Perjuangan yang berbentuk fanatik sering berhadapan dengan kebuntuan kerana terlalu takut untuk kehilangan kuasa atau terlalu marah sehingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh merugikan negara dan agama. Sikap fanatik begini merupakan lumrah kepada dunia Islam masa kini.
Dalam suasana umat Islam mengalami permasalahan sikap dan perjuangan yang lebih mirip kepada perebutan kuasa dan kedudukan maka ketika ini kekuatan umat Islam diuji dalam pelbagai cara oleh musuh-musuh Islam. Dalam keadaan begini umat Islam perlu membuka mata dan melihat siapakah di antara mereka yang benar-benar memperjuangkan Islam dan negara. Ketika ini umat Islam perlu merujuk kepada kitab al-Quran dan hadis berkaitan dengan hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara.
Apabila ayat-ayat al-Quran dan hadis dijadikan sebagai panduan dan cara untuk berpolitik dan berjuang maka tidak ada seorang pun umat Islam yang akan berkompromi dengan golongan yang boleh meruntuhkan kewibawaan dan perlembagaan negara Islam demi untuk merebut kuasa dan kedudukan.
Perjuangan dalam Islam tidak berteraskan kepada kuasa dan kedudukan tetapi ia berasaskan kepada keadilan, kesedaran dan kecintaan untuk membangun dan memakmurkan negara sebagai satu bukti keagungan Islam. Hakikatnya, hari ini pertarungan politik sesama umat Islam boleh diibaratkan sebagai satu cara untuk menjadikan diri sebagai orang yang agung dan ternama.
Hasil daripada sikap dan tingkah laku begini mereka lupa dan leka terhadap disiplin dan peraturan-peraturan berkaitan dengan politik dan kepimpinan negara. Suasana begini jelas dipertontonkan kepada masyarakat sehingga membangkitkan semangat wira di kalangan golongan tertentu untuk memperjuangkan hak yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.
Apabila wujud suasana begini umat Islam perlu bangkit dan buka minda melihat golongan politik manakah yang paling fanatik dalam perebutan kuasa sehingga boleh menggugat keselamatan negara dan maruah agama. Umat Islam perlu tegas dalam pemilihan pimpinan negara kerana kesilapan dalam pemilihan menyebabkan umat Islam hilang maruah agama dan negara.
Pucuk pimpinan negara perlu tegas dan teliti dalam pemilihan wakil rakyat supaya hasrat dan harapan beliau untuk membangunkan dan mengagihkan kekayaan negara kepada keseluruhan rakyat dalam negara ini dilaksanakan oleh ahli-ahli politiknya secara jujur dan telus. Kegagalan dalam kepimpinan dan kecuaian dalam tugas sebagai wakil rakyat merupakan faktor utama yang boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian rakyat.
Rakyat di negara ini perlu bijak dalam pemilihan pemimpin negara. Sistem demokrasi perlu dijadikan sebagai satu cara untuk memberi peluang kepada rakyat memilih siapakah yang layak mewakili mereka dan mampu untuk memperjuangkan hak mereka. Setiap wakil rakyat yang gagal dalam perkhidmatan perlu disingkir daripada jawatan tersebut melalui pilihan raya.
Pilihan raya adalah satu cara yang paling baik untuk mengajar ahli-ahli politik erti kepimpinan dan pentadbiran dalam Islam. Kekalkan keamanan, persiapkan diri dengan kelengkapan dan senjata pilihan raya. Tumbangkan setiap ahli politik yang kecundang tanpa mengira ahli politik manakah mereka itu.
Usah menyemarakkan semangat penentangan di tengah jalan raya kerana ia menakutkan rakyat pelbagai agama dan bangsa. Gunakan strategi yang bijak untuk meyakinkan rakyat tentang kebenaran dan kepimpinan.
Oleh itu jadikan Malaysia sebuah negara maju dan mengamalkan demokrasi yang bebas bersuara supaya setiap golongan merasai bahwa mereka mempunyai hak dan bebas untuk berbuat demikian. Kerajaan yang kukuh kedudukan tidak akan gentar apabila dicabar dan dikritik secara terbuka kerana rakyat menjadi saksi ketelusan dan ketekunan para pemimpin dalam menerajui negara.
* DR. SAODAH ABD.RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments:

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz

Diharap pengunjung dapat meninggalkan tanda lawatan anda di shoutbox ya