Warkah buat Mama (Ibu)
ASSALAMU'ALAIKUM warahmatullahi wabarakatuh.
Menemui bonda yang dikasihi, semoga sentiasa dalam kesejahteraan dan limpah rahmat kasih sayang-Nya. Anakanda doakan mudah-mudahan diri bonda terus tegar dan tabah dalam menghadapi keperitan dan ranjau kehidupan yang kian mencabar.
Bonda tersayang,Sesungguhnya tiada kata yang dapat anakanda lafazkan. Tiada lukisan yang dapat dilakarkan dan tiada tulisan yang dapat dititipkan untuk melahirkan rasa penghargaan buatmu mama, melainkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kerana dikurniakan mama seperti bonda. Sedar tidak sedar, kini usia anakanda menjangkau 23 tahun. Tidak dapat kugambarkan betapa keperitan yang mama rasakan ketika bertarung nyawa melahirkanku. Mama berkorban segala jiwa dan raga demi melihat sinar hidup anakmu. Hanya Dia yang layak membalasnya.
Bonda,
Seketika anakanda terkenang firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya hingga berpisah selama 30 bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya menjangkaui 40 tahun, dia berdoa:
Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku beramal soleh yang Kau redai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang berserah diri."Firman-Nya lagi: "Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amalan kebaikan yang mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang telah dijanjikan kepada mereka." (Surah al-Ahqaf, ayat 15 hingga 16)Aku terharu.
Tanpa disedari, air bergenang di kelopak mataku. Betapa tingginya kedudukanmu di sisi Tuhan. Betapa mulianya tugasmu ibu hingga disebutkan dalam al-Quran. Betapa Dia menjanjikan keampunan dan syurga buat mereka yang mentaati ibu bapa. Dalam ayat lain pula, firman-Nya bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita kelemahan atas kelemahan dan berpisah (melahirkan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu." (Surah Luqman, ayat 15)
Nabi Muhammad SAW juga amat memuliakan diri insan bergelar ibu. Sabda Baginda bermaksud: “Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah, lalu dia bertanya: Siapakah orang yang paling layak untuk aku berbuat baik? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Bapamu.”(Muttafaqun 'alaih)
Urwah, sahabat Rasulullah berkata: "Tunduklah kamu di hadapan ibu bapamu sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di hadapan tuannya."
Kata Atha' bin Rabah: "Janganlah kamu mengangkat tangan apabila sedang bercakap dengan kedua-dua ibubapamu."
Imam Hassan al-Banna berkata: "Hendaklah si anak itu bercakap kepada orang tuanya: Wahai ibu! Wahai ayah! Dan jangan sesekali memanggil dengan menyebut nama mereka."
Apabila dikenang kembali waktu kecil, hatiku sering memberontak lantaran rasa kebebasan diri disekat. Tidak seperti orang lain yang mudah memperoleh apa saja yang diinginkan. Namun, kini aku sedari bahawa tindakanmu mama, bukan untuk menyakiti diriku, bukan juga untuk mendera. Jauh sekali untuk membalas dendam terhadap apa yang pernah mama rasakan.
Tindakan itu untuk mendidik diriku menjadi seorang insan yang bakal berjuang untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Terima kasih mama, abah.Namun mama, aku berduka cita melihatkan fenomena dunia kini. Tamadun manusia semakin meningkat, kemajuan di sana sini, namun hakikatnya jiwa dan rohani mereka kian mundur. Demi mengejar kemajuan kebendaan dan mengagungkan nafsu menyesatkan, mereka sanggup mengetepikan arahan Tuhan.
Bukankah Dia Yang Maha Mulia memerintahkan agar sekalian manusia berlaku ihsan terhadap ibu bapanya yang bersusah payah melahir dan membesarkannya? Bukankah Dia memberi amaran keras terhadap mereka yang mengabaikan kedua-dua ibu bapanya? Lupakah mereka pada kisah Alqamah, sahabat Rasulullah yang menghadapi kesulitan untuk mengucap syahadah ketika ajal menjemput lantaran mengutamakan isteri melebihi ibunya?Apakah manusia tidak ingin mengambil iktibar terhadap kisah pemuda yang diselamatkan Allah daripada terperangkap dalam gua hanya kerana bakti dan pengorbanan terhadap kedua-dua orang tuanya? Adakah mereka sangka bahawa mereka dapat membalasnya dengan nilaian wang dan harta?
Duhai mama, semoga Allah melindungi diriku daripada bersifat sebegitu. Mama, sampaikan salam hormatku buat sekalian sahabatmu. Anakmu yang kerdil ini mendoakan agar mama dikurniakan ketabahan seperti tabahnya Maryam, ibu Nabi Isa. Allah memilihnya untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah sebagai seorang ibu, meskipun tanpa kehadiran suami. Begitu juga kepahitan yang dirasakan oleh bonda Rasulullah, Aminah binti Abdul Wahab ketika dibawa berita gembira mengandungkan Baginda, suami tercinta pula dipanggil mengadap Yang Esa. Ketabahan dan keutuhan peribadi mereka akhirnya melahirkan peribadi unggul, insan pilihan yang membawa manusia kepada Penciptanya.
Mama tercinta, anakanda memohon keampunan atas segala kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan selama ini dalam sedar atau tidak. Ketahuilah mama, sesungguhnya anakmu ini tidak ingin melukai hati suci mama. Anakanda tidak ingin menjadi seorang anak derhaka. Mama, anakanda akan berusaha menjadi seorang anak terbaik buat mama dan abah, contoh cemerlang buat keluarga. Doakan anakmu ini berjaya mencapai cita-cita, dan menjadi penyejuk hati kedua-dua mama dan abah. Sebelum berundur, dari jauh anakanda titipkan petikan kata-kata nasyid ini buat mu mama...
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Restumu dan kasihmu kuharapkan
Kerana di situ letak syurgaku.Ibu...
Kau ampunilah dosaku
Andainya ku pernah menghiris hatimu
Kasihanilah Wahai Tuhan…
Ibu yang telah melahirkan diriku
Dengan kepayahan sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat..
Ibu ku yg ku sayangi
IBUNDAKU.
Lembut bersinar dalam cahaya malam
di antara kerlap kerlip bintang
Menyembul di antara gumpalan awan kelam
Seorang wanita berwajah rupawan
dengan sekerut garis kehidupan
seluas samudra belaian jemari tangan
Selalu bersinar meski hidup temaram
Lembut tutur kata dan ucapan
Ibundaku adalah seorang Rembulan
Ibunda yang kusayang
Jauh di mata lekat dalam dekapan
hangat sentuhan masih kuimpikan
Dalam relung keheningan malam
Ibunda yang kucinta
ingatkah engkau akan anakanda
yang masih penuh lumuran dosa
dulu kubuat marahmu menyala
namun samudra maafmu tiada tara
selalu pelukan dan belaian yang kau punya
Ibunda yang kurindukan
tetaplah bersinar di antara bintang
walau sang awan datang menghadang
kau selalu melekat dalam ingatan
kuukir setiap garis kehidupan,
cita dan cinta untuk Ibunda sayang
dalam hati kubisikkan.....
KAULAH IBUNDAKU
Jasa IbuBapa
Jauhi segala maksiat kerana ia menjadi antara sebab tentera musuh menjadi kuat dan pertolongan Allah tertahan. Hidup Ni Tak Lama (Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgamu.... namun tak pula aku sanggup ke nerakamu)
Wednesday, April 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz
No comments:
Post a Comment