Dr Said Ramadhan ada menjelaskan di dalam buku tersebut tentang satu munazarah ilmiah yang berlaku antara beliau dengan seorang ulamak yang di kenali ramai; bernama As-Syaikh Nasisruddin Albani, yang telah berjumpa dengan beliau di rumah beliau sendiri bagi mengemukakan bantahan ilmiah terhadap tulisan beliau berkenaan dengan kepentingan bermazhab.
Tetapi apa yang mengecewakan, setelah kecundang dalam munazarah ilmiah yang berlaku selama 3 jam bersama Dr Said Ramadhan , As-Syaikh Albani telah mengambil sikap yang “tidak berakhlak” dengan mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Taassub Mazhab” bersama dua orang ulamak yang sealiran dengan beliau, iaitu As-Syaikh Mahmood Mahdi Al-Istambuli dan As-Syaikh Khairuddin Al-Walini dengan mengadakan beberapa jenayah ilmiah terhadap As-Syaikh Dr Said Ramadhan Al-Buti. Malah yang mengejutkan lagi, apabila Dr Said Ramadhan Albuti di dalam buku “alla Mazhabiyyah” telah menukilkan kata-kata As-Syakh Albani di dalam catatan dari kitab “Mukhatasar Sahih Muslim, karangan Imam Al-Munzir RA. Didalam catatan tersebut, As-Syaikh Albani Ra menyatakan;
هذا صريح فى أن عيسى عليه السلام يحكم بشرعنا و يقضى بالكتاب و السنة , لا بغيرها من الإنجيل أو الفقه الحنفى و نحوه
Maksudnya; Ini adalah jelas bahawa nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, tidak dengan yang lainnya, samada dari kitab injil atau fiqh mazhab Hanafi dan seumpama dengannya”
Kata-kata Albani ini seolah-olahnya meletakkan keilmuan Imam Abu Hanifah dengan menyamakan antara Injil dan Fiqh Hanafi yang dianggap seperti tidak termasuk dari kandungan Al-Quran dan As-Sunnah.
IJTIHAD DAN TAQLID
Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyebut berijtihad adalah sesuatu kefarduan secara kifayah. Tidak harus berlaku kekosongan ijtihad pada setiap zaman (Usul Fiqh Al-Islami). Oleh itu berijtihad itu adalah sesuatu kemestian, kerana kehidupan dunia ini sentiasa berubah masa demi masa dan keadaan sesuatu tempat tidak menyamai dengan keadaan sesuatu tempat yang lain yang memerlukannya.
Dalam kitab Fatawa Maasarah, Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan berlakunya ijtihad itu disebabkan perkara berikut;
1. perkara yang tiada nas.
2. perkara yang ada nas, tetapi mempunyai pelbagai tafsiran.
3. mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.
Justeru itu ijtihad adalah satu keperluan, manakala taqlid memenuhi tuntutan Allah berikut,
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya; “maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (surah An-Nahl : ayat 43)
Manakala maksud taqlid pula ialah mengambil perkataan atau mengikut orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Ini berlaku apabila seseorang yang tidak mampu atau layak untuk berijtihad adalah dilarang berbuat demikian bagi mengelakkan kesilapan dalam berijtihad apatah lagi kalau dia bukan pakar atau tidak mempunyai syarat-syarat ijtihad untuk menjadi mujtahid mutlaq atau mujtahid peringkat bawahan.
SYARAT MUJTAHID
Dr Wahbah Az-Zuhaili telah menyenaraikan syarat-syarat yang perlu di penuhi bagi melayakkan seseorang itu menjadi mujtahid adalah seperti berikut;
a. mengetahui makna-makna ayat Al-Quran, sama ada dari sudut bahasanya dan syaraknya. b. Mengetahui hadis-hadis hukum.
c. Mengetahui nasikh dan mansukh didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
d. Mengetahui semua perkara yang telah diijmakkan oleh Ulamak.
e. Mengetahui kaedah-kaedah qias dengan betul.
f. Mengetahui bahasa Arab dari semua sudut, iaitu dari nahu, sorof, balaghah, majaz, hakiki dan sebagainya. g. Mengetahui kaedah-kaedah didalam ilmu usul fiqh.h. Memahami maqasid As-Syariah didalam mengistinbatkan hukum.
Bagi muqallid yang ingin menjadi mujtahid, hendaklah difahami ia bukannya suatu perkara yang mudah yang memerlukan ketinggian ilmu dan memenuhi syarat mujtahid. Tetapi apa yang menakutkan ada sesetengah manusia di zaman ini sudah berasa diri mereka berkebolehan didalam berijtihad, sedangkan kebolehan mereka hanya mampu menguasai satu atau beberapa ilmu sahaja. Lalu mereka berhujjah haram bagi umat untuk menjadi muqallid kepada mazhab-mazhab yang tidak ma’sum, seperti bermazhab As-Syafii, Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya, tetapi di wajibkan semua manusia bermazhabkan yang ma’sum, iaitu mazhab Rasulullah SAW atau lebih dikenali sebagai mazhab sunnah. Sudah tentulah ia bercanggah dengan firman Allah yang saya sebutkan sebelum ini, “maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”.
Didalam ayat tersebut, Allah SWT menyuruh manusia itu bertanya kepada orang yang berkepakaran sekiranya mereka tidak mengetahui. Ini menunjukkan ada orang yang tidak berkepakaran yang digelar juga sebagai orang awam yang wajib kepada dirinya bertaqlid (menjadi muqallid)
Dr Said Ramadhan Al-Buti ada menceritakan logik di sebalik kewajipan bertaqlid kepada mujtahid ketika berdebat dengan As-Syaikh Albani RA. Antara isi dialog tersebut adalah seperti berikut;
Al-Buti: seorang lelaki yang baru memeluk Islam; mahu menunaikan solat tetapi kebingungan bagi menentukan arah kiblat. Lalu dia membaca firman Allah;
قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakanlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat” (surah Al-Baqarah : 142) Lelaki tersebut beranggapan bahawa setiap orang yang hendak menunaikan solat boleh mengadap ke arah mana sahaja, sepertimana di nyatakan dalam Al-Quran.Kemudian dia mendengar bahawa keempat-empat mazhab telah sepakat bahawa ia harus mengadap Kaabah, dan dia juga mengetahui dalil dalam masalah tersebut, tetapi dia belum melihat sahaja. Apabila dia hendak menunaikan solat, apakah cukup dia menunaikan solat mengikut panggilan hatinya berdasarkan kepada ayat yang dibacanya atau bertaqlid dengan Imam-imam Mazhab?
As-Syaikh Albani : memadai dengan mengikut panggilan hatinya.
Al-Buti : meskipun dia solat ke arah yang tidak mengadap ke Kaabah sekalipun ? Apakah solatnya di anggap sah?
Albani : Ya, kerana ia di wajibkan mengikut panggilan hatinya.
Al-Buti : Andaikata panggilan hati lelaki tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa melakukan zina, minum arak, mencuri dan sebagainya. Apakah Allah akan memberi syafaat kepadanya disebabkan panggilan hatinya?
Albani : Senyap sebentar. Kemudia berkata : sebenarnya contoh-contoh yang awak tujukan kepada saya adalah khayalan belaka dan tidak ada bukti.
Al-Buti : bukan khayalan atau dugaan semata-mata, bahkan sering berlaku, bahkan yang lebih pelik lagi. Bagaimana tidak ! seorang pemuda yang tidak memahami apa-apa tentang Islam, Al-Kitab dan As-Sunnah, kemudian membaca sepotong ayat Al-Quran yang ia fahami menurut andaiannya, kemudian berpendapat bahawa dia boleh solat ke arah mana sahaja yang dia mahu, sedangkan ulamak-ulamak mujtahid telah sepakat menyatakan bahawa di wajibkan solat mengadap ke arab Kiblat (Kaabah). Dalam keadaan ini, awak menyatakan solatnya adalah sah, semata-mata beralasan dengan panggilan hatinya. Pendirian awak ini sebenarnya bercanggah dengan prinsip awak bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu Mujtahid, Muqallid dan Muttabi’.
Setelah Al-Buti menyatakan demikian, As-Syakh Albani RA menyatakan;
Albani : sepatutnya lelaki tersebut harus meneliti dan membahaskan. Apakah dia tidak membaca hadis atau ayat yang lain?
Al-Buti : ia tidak mencukupi bahan (syarat) untuk membahas sebagaimana keadaan awak ketika membahaskan masalah talak. Ia tidak sempat membaca ayat-ayat lain yang berhubungan dengan masalah kiblat selain ayat di atas. Dalam hal ini, apakah ia tetap harus mengikuti bisikan hatinya dengan cara meninggalkan ijmak para ulamak?
Albani: memang dia harus berbuat demikian, kalau dia tidak mampu membahas dan menganailisa, baginya cukup berpegang pada hasil fikirannya sendiri dan tidak tidak salah.
Al-Buti : ucapan awak ini sangat berbahaya dan memelikan. Ucapan ini kami akan siarkan dalam tulisan…..
Albani : silakan siar pendapat saya, saya sememangnya tidak takut.
Al-Buti : apakah awak tidak takut kepada Allah SWT. Sesungguhnya ucapan awak tadi menandakan awak telah membuang firman Allah;
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”(surah An-Nahl : 43)
Setelah itu, As-Syaikh Albani menyatakan;
Albani : wahai saudara Al-Buti, sesungguhnya para imam bukanlah yang ma’sum. Adapun ayat yang dia pegang merupakan firman Allah yang terpelihara dari kesalahan. Bagaimana mungkin ia harus meninggalkan yang ma’sum dan berpegang pada orang yang tidak ma’sum?
Al-Buti: yang terpelihara dari kesalahan adalah makna hakiki yang dikehendaki oleh Allah dengan firman-Nya;
قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”(surah Al-Baqarah : 142) Akan tetapi, faham lelaki tersebut adalah jauh sama sekali dari pendidikan Islam yang sememangnya tidak ma’sum. Maka dengan demikian, masalahnya adalah bandingan antara dua faham, iaitu faham atau pemikiran dari seorang yang jahil dan faham atau pemikiran dari seorang imam mujtahid, yang kedua-duanya tidak ma’sum. Hanya beza kedua-duanya adalah, satunya jahil dan satu lagi mempunyai keilmuan.
Lalu As-Syaikh Albani menjawab;
Albani : sesungguhnya Allah tidak membebani dia melebihi kemampuan.
Al-Buti: Tolong jawab persoalan ini. Seorang yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit demam panas. Menurut semua doktor di daerah tersebut, anak kecilnya itu perlu di beri ubat khusus dan mereka melarang dari memberi ubat antibiotik. Mereka pun telah memberitahu kepada bapa tersebut, tetapi tidak dipedulikan olehnya. Lalu, bapa tersebut telah membaca satu tulisan yang menyatakan bahawa ubat antibiotic boleh mengubat sakit demam panas. Tanpa mengendahkan nasihat para doktor, diberinya juga kepada anak kecilnya itu dengan ubat antibiotik, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati. Dengan tindakan si bapa tadi, adakah bapa tadi dikira sebagai berdosa?
Albani : (diam sekejap), lalu berkata : saya kira, masalah ini bersalahan dengan masalah yang kita sedang bincangkan.
Al-Buti : sebenarnya masalah ini serupakan dengan masalah yang kita bincangkan. Cuba perhatikan! Bapa tersebut sudah mendengar kesepakatan para doktor, sebagaimana lelaki tadi telah mendengar kesepakatan mujtahid. Akan tetapi, si bapa tersebut berpegang pada satu tulisan dari buku kesihatan, sebagaimana lelaki tersebut melakukan amalan mengikut panggilan hatinya.
Albani : Saudara ! Al-Quran adalah cahaya. Cahaya Al-Quran tidak dapat disamakan dengan yang lain.
Al-Buti : apakah maksud pembaca Al-Quran itu memahami maksud Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah? kalau begitu, apakah beza antara ahli ilmu dan bukan ahl ilmu yang membaca Al-Quran? Dua contoh di atas adalah sama. Awak perlu menjawab, apakah kedua-duanya harus menerima begitu sahaja panggilan hatinya atau harus mengikuti atau taqlid kepada ahl ilmu?
Albani: panggilan hati adalah yang paling pokok.
Al-Buti : si bapa tadi telah melakukan mengikut panggilan hatinya sehingga mengakibatkan anaknya mati. Apakah ada tanggungjawab bagi si bapa dari segi syariat atau hukum?
Albani: tidak ada apa-apa tuntutan daripadanya.
Al-Buti : dengan jawapan awak seperti ini, saya kira dialog dan diskusi ini kita cukupkan sampai disini sahaja. Sudah jelas antara dua jalan antara pendapat awak dan saya. Dengan jawapan awak yang menghairankan itu, cukuplah kiranya untuk awak telah terkeluar dari kesepakatan kaum muslimin. Cuba awak renungkan, seorang muslim yang jahil hanya mengandaikan panggilan hatinya dalam memahami apa yang ia ketemui didalam Al-Quran. Lalu dia mengerjakan solat mengadap ke arah selain kiblat dan menyalahi semua umat Islam, tetapi solatnya dianggap sah. Kemudian orang biasa dengan panggilan jiwanya, ia mengubat anaknya yang sakit mengikut kehendaknya, sehinggakan anaknya sendiri mati, lalu dengan perbuatannya itu, dia terselamat dari apa-apa tuntutan dari segi syarak.
Dari debat ilmiah ini, kita dapat melihat bagaimana fanatik kepada pendapat sendiri yang ada pada diri As-Syaikh Albani yang sehinggakan dia sendiri telah mengambil sikap tidak mahu menerima “kebenaran hujjah” dari Dr Said Ramadhan Al-Buti, yang kadangkala menyebabkan timbul dakwaannya yang boleh memberi bahaya kepada kefahaman Islam yang sebenar. Siapa kita yang nak meremeh-remehkan ulamak-ulamak mazhab.
Persoalannya siapakah sebenarnya pengikut sunnah? Abu Farouk, Asri, Albani, Albuti atau al-Jahil?
Jauhi segala maksiat kerana ia menjadi antara sebab tentera musuh menjadi kuat dan pertolongan Allah tertahan. Hidup Ni Tak Lama (Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgamu.... namun tak pula aku sanggup ke nerakamu)
Wednesday, December 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Tajuk-tajuk yang dikupas lebih kepada masalah-masalah / persoalan-persoalan asas tentang Islam (persoalan paling asas dengan menggunakan logik akal (berpandukan bidang agama,akauntan,ekonomi,doktor,kejuruteraan,undang-undang & IT yang penulis pelajari sikit setiap bidang) dan ayat Quran/Hadith),adab adat budaya warisan kita,perkara-perkara dunia&pengalaman kisah hidup penulis. Perhatian! Penulis hanya orang biasa & bukannya Ustaz
No comments:
Post a Comment